Ibrahim Ali mengaku terima wang daripada Najib

Ibrahim Ali
Ibrahim Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali mengaku telah menerima cek persendirian daripada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Bagaimanapun katanya, beliau langsung tidak menyedari wang yang diterima itu berkait dengan SRC International Sdn Bhd (SRC) mahupun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memandangkan tiada nama kedua-dua syarikat tersebut pada cek yang diterimanya itu.

“Saya tidak ingat bila terimanya tetapi yang pasti sebelum isu 1MDB terbongkar selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan saya tidak ambil tahu dana mana dia (Najib) ambil bantu saya. Mungkin dari tabung UMNO atau BN. Atau wang persendirian.

“Jika sudah terbongkar, pastinya saya tidak akan mahu menerimanya dan Najib sendiri tidak akan menggunakan akaun tersebut lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, beliau berjumpa dengan Najib untuk meminta bantuan bagi menyelesaikan masalah kewangan yang telah banyak dibelanjakan sepanjang lima tahun tersebut termasuk ketika bertanding pada PRU13.

Tambahnya, Najib bersetuju membantu dan beliau tidak menyoal punca duit itu memandangkan Ahli Parlimen Pekan itu sudah lama dalam kabinet kerajaan Malaysia sejak usianya 20-an lagi.

“Semua sumbangan itu saya telah belanjakan yang tidak perlu saya huraikan sekarang, tetapi yang pasti ia dihabiskan untuk membiayai perbelanjaan program-program rakyat di Pasir Mas dan tidak digunakan untuk perbelanjaan peribadi saya,” katanya.

Jumaat lalu, 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC memfailkan saman sivil terhadap beberapa individu yang didakwa menipu firma milik negara itu.

Artikel Berkaitan:

Ibrahim dinamakan dalam saman anak syarikat SRC, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) yang mendakwa terdapat 14 pihak menerima wang SRC, termasuk Najib dan UMNO Selangor.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Ibrahim berkata, beliau sedia menunggu saman serta bersedia menjawab di mahkamah.

Jelasnya, mahkamah akan menentukan sama ada beliau wajar memulangkan semula atau tidak wang yang diterimanya memandangkan beliau tidak mengetahui sama sekali sumber wang tersebut.

“Saya sedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa jika dipanggil untuk apa-apa siasatan kerana saya tidak mahu terpalit dengan sebarang skandal negara,” katanya.