AMK persoal layanan dua darjat terhadap Azmin

Akmal Nasrullah Mohd Nasir. - Foto FB Akmal Nasir
Akmal Nasrullah Mohd Nasir. - Foto FB Akmal Nasir
A
A
A

JOHOR BAHRU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan layanan dua darjat terhadap Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tidak dikenakan arahan kuarantin 14 hari setelah pulang dari negara berisiko tinggi.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tindakan itu tidak selari dengan kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikeluarkan pada 29 April lalu.

Menurutnya, kenyataan itu jelas menyebut, individu yang datang atau pulang dari senarai negara yang dilaporkan wujud penularan Variant of Concern (VOC) SARS-CoV-2 dalam komuniti perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin.

“Selain negara seperti India, Itali dan United Kingdom, negara Timur Tengah seperti Emirah Arab Bersatu (UAE) turut termasuk dalam senarai tersebut.

“Bagaimanapun, berdasarkan semakan Twitter (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali, beliau serta rombongannya dikatakan pulang ke Malaysia dari UAE kira-kira enam hari yang lepas iaitu pada 5 Mei 2021.

“Namun, ciapan Azmin Ali semalam (Isnin) memaparkan beliau membuat kunjungan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bertemu pegawai-pegawai polis,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook rasminya.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu menjelaskan, apa yang dikesalkan ialah rakyat diberitahu mengenai penularan variasi baharu Covid-19 di Malaysia baru-baru ini dan juga yang mungkin menjadi penyebab PKP 3.0.

Malah katanya, mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dihukum, namun tindakan sama tidak dibuat ke atas menteri-menteri.

Artikel Berkaitan:

“Tolonglah berlaku adil dan jagalah keselamatan kami sama. Janganlah dikorbankan rakyat kebanyakan di bawah bagi menghalalkan segelintir di atas,” katanya.