Israel akui bunuh 15 anggota pejuang Palestin

Seramai 22 orang terbunuh di Gaza termasuk sembilan kanak-kanak akibat serangan udara Israel.
Seramai 22 orang terbunuh di Gaza termasuk sembilan kanak-kanak akibat serangan udara Israel.
A
A
A

BAITULMAQDIS - Tentera Israel pada Selasa berkata, ia telah menyerang 130 sasaran ketenteraan di Gaza dan mendakwa berjaya membunuh 15 anggota Hamas dan Jihad Islam selepas pejuang Palestin melancarkan serangan roket ke arah Israel.

"Kami telah menyerang sasaran serangan ketenteraan kebanyakannya milik Hamas," kata jurucakap tentera rejim Zionis, Jonathan Conricus kepada pemberita seperti dilaporkan oleh AFP.

"Menurut anggaran kami, kami telah membunuh 15 anggota Hamas dan Jihad Islam," tambahnya lagi.

Pergerakan Hamas ketika ini menguasai Gaza yang bersempadan dengan Israel. Keganasan semakin memuncak sejak pertempuran berlaku antara polis Israel dengan para penunjuk perasaan Palestin di pekarangan Majid Al-Aqsa, Baitulmaqdis Timur sehingga mencederakan ratusan penduduk Palestin.

Para penunjuk perasaan itu membantah tindakan Israel merampas rumah-rumah penduduk Palestin di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur setelah sebuah mahkamah daerah Yahudi di Baitulmaqdis membuat keputusan pengusiran tersebut pada awal tahun ini.

Menurut AFP, keganasan yang berlaku sejak beberapa hari lalu itu bermula selepas penduduk Palestin didakwa melemparkan objek-objek ke arah pasukan keselamatan Israel.

Hamas pula dilaporkan memberikan kata dua kepada Israel supaya mengosongkan Masjid Al-Aqsa sehingga jam 11 malam pada Isnin lalu.

Sejurus selepas tempoh itu berakhir, Hamas dan beberapa kumpulan bersenjata di Genting Gaza melancarkan satu siri serangan roket ke arah Israel termasuk Baitulmaqdis.

Artikel Berkaitan:

Lebih 200 roket didakwa dilancarkan dari Gaza sejak Isnin lalu dengan 90 peratus daripadanya berjaya dipintas oleh Sistem Pertahanan Iron Dome milik Israel.

Dalam pada itu, pihak berkuasa di Gaza menyatakan seramai 22 orang terbunuh termasuk sembilan kanak-kanak akibat serangan udara Israel. - Agensi