X

Kindly register in order to view this article
!

Safawi intai slot utama Harimau Malaya

Foto: FB Johor Southern Tigers
A
A

Pawi sasar lebih tajam

Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid mahu memastikan posisi sayap kanan pasukan kebangsaan menjadi miliknya pada saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun ini.

Selepas sebulan dihimpit kecederaan lutut, Safawi, 24, yang tampil garang meledak gol ketika membantu JDT membenam Penang FC 3-0 Sabtu lepas, kini secara konsisten kembali mencapai tahap prestasi terbaiknya.

Beliau berkata, keadaannya semakin baik untuk menunjukkan prestasi terbaik merebut posisi tersebut dalam skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menjelang pertembungan Kumpulan G saingan kempen kelayakan menentang UAE, Vietnam dan Thailand.

“Sudah tentu seseorang pemain nak bagi segalanya untuk pasukan, jadi bagi saya, dalam keadaan sekarang saya tidak sabar nak berlatih balik dengan pasukan,” katanya ketika ditemui selepas menerima dos kedua suntikan vaksin Covid-19 di Dewan Seri Seroja, Putrajaya pada Isnin.

Safawi diketepikan sebulan akibat kecederaan pada lutut kiri sewaktu menentang UiTM FC pada aksi Liga Super, Mac lepas dan menjalani proses pemulihan selama sebulan sebelum kembali beraksi sebagai pemain gantian dan diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan baru-baru ini.

Di posisi sayap kanan skuad Harimau Malaya, beliau akan bersaing dengan rakan sepasukan JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi yang merupakan antara pemain sayap dalam senarai 25 pemain kebangsaan ke UAE.

Persaingan itu membakar lagi semangat beliau untuk menampilkan kualiti bagi mendapatkan kepercayaan Cheng Hoe.

“Jurulatih Tan (Cheng Hoe) pun mungkin pening kepala untuk pilih siapa terbaik di sebelah kanan, bagi saya kalau boleh belah kanan...saya nak ‘tanam’ (kuasai) lah belah itu,” jelas Pemain Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 itu.

Safawi turut meledak dua gol dalam kejayaan Malaysia membenam Indonesia 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada aksi terakhir pasukan dalam saingan Kumpulan G kempen kelayakan pada November 2019.

Malaysia yang berada pada kedudukan kedua Kumpulan G akan meneruskan baki kempen kelayakan bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi berdepan Vietnam (11 Jun) dan menamatkan saingan berdepan Thailand pada 15 Jun.

TAG: bola sepak, muhammad safawi rasid, harimau malaya, sayap kanan, kelayakan piala dunia 2022,


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!