Nelayan Vietnam berputih mata, 100 kg ikan dirampas

Nur Syam Asmawie (kiri) menunjukkan ikan yang dirampas oleh Maritim Malaysia Kelantan selepas menahan sebuah bot nelayan Vietnam pada jarak 178 kilometer dari muara Tok Bali.
Nur Syam Asmawie (kiri) menunjukkan ikan yang dirampas oleh Maritim Malaysia Kelantan selepas menahan sebuah bot nelayan Vietnam pada jarak 178 kilometer dari muara Tok Bali.
A
A
A

PASIR PUTEH - Sebuah bot milik nelayan asing Vietnam berputih mata apabila 100 kilogram (kg) ikan yang cuba 'dirompak' di kawasan perairan Malaysia di negeri ini gagal apabila berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan pada Ahad.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, bot tersebut berjaya ditahan pada jarak 178 kilometer dari muara Tok Bali.

"Semasa melakukan rondaan krew Kapal Maritim (KM) Tok Bali telah mengesan sebuah bot yang dikemudikan dalam keadaan mencurigakan pada jam 11.47 pagi," katanya kepada pemberita di Jeti Maritim Malaysia Kelantan, Tok Bali di sini pada Selasa.

Menurutnya, sejurus melihat kehadiran KM Tok Bali, bot nelayan asing itu bertindak memecut laju untuk cuba masuk ke kawasan perairan Vietnam.

Beliau berkata, kecekapan kru KM Tok Bali yang diketuai oleh Leftenan Komander Maritim, Mohd Sopian Mohd Nasir telah berjaya memintas dan menahan bot tersebut selepas mengejarnya selama 18 minit.

Nur Syam Asmawie berkata, seramai enam kru termasuk tekong masing-masing berusia antara 35 hingga 61 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan selepas dipercayai telah menceroboh perairan negara.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di atas bos itu membawa kepada penemuan 100 kg pelbagai jenis ikan yang dipercayai telah ditangkap di kawasan perairan negara.

"Kita turut merampas 200 liter minyak petrol yang berada di atas bot berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, hasil laut dan peralatan menangkap ikan ialah berjumlah RM400,000," katanya.

Nur Syam Asmawie berkata, kes disiasat bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.