Tukang masak ditahan simpan dadah di rumah sewa

Suspek ditahan reman seminggu untuk siasatan lanjut.
Suspek ditahan reman seminggu untuk siasatan lanjut.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang tukang masak ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM11,485 pada jam 3.50 petang Ahad lalu di Jalan Lenggong, Jelutong di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Timur Laut di rumah sewanya.

Menurutnya, pemeriksaan di rumah suspek menjumpai serbuk jus dicampur dengan dadah MDMA seberat 187.4 gram, 135 biji pil ekstasi seberat 43.05g dan 8.95 gram ketamin.

"Rumah tersebut disewa suspek sejak lima bulan lalu dan kediaman itu dipercayai digunakan untuk menyimpan bekalan yang diperolehi daripada kenalan suspek sebelum diedar kepada penagih.

"Kenalan suspek itu masih bebas dan kita masih giat memburunya. Ketika serbuan, semua dadah itu disorok dalam kotak yang diletakkan atas lantai dalam satu daripada dua bilik di rumah tersebut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Soffian berkata, polis menyita sebuah motosikal, kereta dan seutas rantai berwarna kekuningan.

"Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah itu direman tujuh hari untuk siasatan lanjut. Bagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan ketamin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(3) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: