Mahkamah batal habeas corpus pegawai penyiasat kanan polis

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa membatalkan permohonan habeas corpus (penahanan salah) difailkan Asisten Superintendan G S Baldev Singh yang sebelum ini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas Baldev Singh, 36, selaku pemohon menarik balik permohonan berkenaan.

“Saya batalkan (permohonan habeas corpus ini),” kata Mohamed Zaini.

Ketika pendengaran kes berkenaan, peguam, Meneesha Kaur yang mewakili pemohon berkata, permohonan itu dibuat selepas pihaknya mendapat arahan daripada Baldev Singh menarik balik perkara tersebut.

“Yang Arif, pihak kami memohon untuk membatalkan harbeas corpus kerana pemohon dibebaskan dengan ikat jamin oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 5 Mei lalu,” katanya.

Sementara itu, Peguam Persekutuan, Norazlin Mohamad Yusoff bagi pihak responden-responden mengesahkan perkara tersebut dan tidak membantah permohonan yang dibuat.

Bagaimanapun, Baldev Singh yang juga pegawai penyiasat kanan polis tidak hadir ketika prosiding berlangsung dan hanya diwakili peguam.

Baldev Singh memfailkan permohonan habeas corpus pada 30 April lalu dengan menamakan pegawai penyiasat, Superitendan Amran Mohd Jusin dan Ketua Polis Negara masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 April lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.

Nicky, 33, merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lepas.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai polis ada kaitan dengan Geng Nicky dibebaskan dengan jaminan