X

Kindly register in order to view this article
!

Lotus’s rekrut 200 pekerja baharu

Pasar raya Lotus's.
A
A

LOTUSS Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s) sedang merekrut 200 rakan sekerja baharu untuk pusat pengedarannya di Bukit Beruntung, Selangor.

Presidennya, Kenneth Chuah berkata, kedua-dua pusat pengedaran Lotus’s di Bukit Beruntung, Selangor dan Simpang Pulai, Perak telahpun dikendalikan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sejak November 2020.

Menurutnya, ia sebagai tindak balas kepada saranan kerajaan dalam mewujudkan pekerjaan bagi rakyat Malaysia berikutan kadar pengangguran yang tinggi kesan wabak Covid-19.

“Pada awal tahun ini, memang ada keraguan mengenai status pekerjaan rakan-rakan sekerja Tesco setelah kami mengambil alih. Tidak ada rancangan untuk pemotongan pekerjaan dan kami akan terus merekrut untuk menyokong aspirasi dan rancangan pertumbuhan perniagaan kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Chuah berkata, pandemik itu telah menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam mewujudkan pekerjaan bagi rakyat Malaysia, Lotus’s menawarkan 200 jawatan tetap untuk rakyat tempatan di pusat pengedaran Bukit Beruntung.

Beliau berkata, warganegara Malaysia yang berumur 18 hingga 50 tahun dengan tahap pendidikan minimum Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Penilaian Tingkatan 3 (PT3) dan bersedia bekerja syif, lima hari seminggu dialu-alukan untuk memohon.

Calon yang berminat boleh pergi terus ke pusat pengedaran Bukit Beruntung untuk temu duga.

Sebelum ini, pada April 2020, Lotus’s, sebagai Tesco ketika itu merekrut lebih daripada 600 rakan sekerja tempatan untuk memenuhi permintaan tinggi yang luar biasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama.

Setelah memperoleh perniagaan Tesco Malaysia pada bulan Disember 2020, Lotus’s kini mengendalikan semua operasi cawangan Tesco yang ada dengan menggajikan lebih dari 8,600 rakan sekerja di satu ibu pejabat, dua pusat pengedaran dan 62 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!