SOP ketat penjara kawal bahan terlarang masuk

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim (kanan) sewaktu melawat ruang pameran anti dadah selepas merasmikan Hari Terbuka AADK sempena Bulan Anti Dadah Kebangsaan 2019 di pusat pemulihan penagih dadah 'Cure and Care' Sungai Besi hari ini. Foto: Bernama
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim (kanan) sewaktu melawat ruang pameran anti dadah selepas merasmikan Hari Terbuka AADK sempena Bulan Anti Dadah Kebangsaan 2019 di pusat pemulihan penagih dadah 'Cure and Care' Sungai Besi hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua penjara di negara ini mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ketat dalam mengawal pergerakan keluar masuk pegawai dan pelawat bagi memastikan tiada bahan terlarang diseludup masuk ke kawasan penjara.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata peraturan itu perlu dipatuhi semua pegawai dan petugas penjara sebelum dibenarkan masuk ke penjara.

Malah banduan yang baharu pun perlu melalui prosedur pemeriksaan badan yang ketat sebelum dimasukkan ke sel penjara mereka, katanya sambil menegaskan bahawa pihak penjara dan polis sentiasa memberi perhatian serius perkara itu.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Hari Terbuka Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Klinik Cure & Care di sini, hari ini, Alwi berkata pihak kementerian sentiasa meneliti prosedur dan peraturan sedia ada dan sekiranya perlu, ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kewujudan sindiket yang membekalkan dadah kepada tahanan di penjara Simpang Renggam, Johor.

Pada 14 Januari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata polis menahan lima lelaki yang disyaki anggota sindiket mengedar dadah kepada banduan di Penjara Simpang Renggam, Johor sejak setahun lepas.

Mohamad Fuzi berkata polis percaya sindiket berkenaan menggunakan ‘orang dalam’ untuk melakukan penyeludupan dadah kepada banduan di penjara itu.

Ditanya adakah pembubaran Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) tahun lepas menjejaskan operasi banteras sindiket dadah, Alwi berkata: “Pembubaran STING tidak menjejaskan operasi malah banyak serbuan terhadap pengedar dan makmal dadah dilakukan oleh pihak narkotik”.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu itu, beliau berkata golongan muda perlu melibatkan diri dengan program yang bermanfaat bagi mengelak terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

“Pihak sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan komuniti perlu bersama-sama atasi masalah ini dengan mewujudkan lebih banyak program kesedaran mengenai bahaya dadah,” katanya. - Bernama