Jurujual rugi RM15,900 diperdaya pelaburan tidak wujud

Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang jurujual di sebuah pusat membeli belah di sini kerugian RM15,900 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan mata wang asing yang ditawarkan sebuah syarikat melalui laman sosial Facebook pada Mac lalu.

Mangsa yang berusia 21 tahun dijanjikan pulangan lumayan dalam tempoh 14 jam, namun bagi menuntut wang keuntungan itu dia terpaksa membuat pelbagai bayaran.

Wanita itu menyedari telah ditipu apabila suspek gagal dihubungi setelah menerima bayaran dan wang keuntungan tidak diserahkan sebagaimana yang telah dijanjikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan iklan pelaburan yang diiklankan melalui Facebook selepas melayari laman sosial itu pada 25 Mac lalu.

Menurutnya, mangsa berminat untuk melabur RM600 sebagai permulaan dan berurusan dengan ejen pelaburan itu melalui aplikasi WhatsApp.

"Mangsa mendakwa dia dijanjikan keuntungan RM15,000 dari jumlah yang dilaburkan dan segera membuat bayaran modal pelaburan itu pada penghujung Mac melalui akaun bank atas nama seorang lelaki.

"Setelah membuat bayaran, mangsa hanya perlu menunggu selama 14 jam untuk menerima wang keuntungan yang dijanjikan," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Wazir berkata, pada hari berikutnya mangsa menerima pautan laman web pelaburan berkenaan untuk membuat semakan dan mendapati keuntungan diterima RM15,000.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun sebelum mangsa dibenarkan menuntut wang tersebut, dia perlu menjelaskan beberapa bayaran dan dia berbuat demikian secara berperingkat dalam tempoh 7 hingga 31 April lalu membabitkan jumlah keseluruhan RM15,308.

"Pembayaran dibuat melalui empat akaun bank atas nama individu berbeza," katanya.

Beliau berkata, setelah itu, mangsa menghubungi suspek untuk mengetahui perkembangan proses tuntutan wangnya, namun individu itu gagal dihubungi.

"Mangsa syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Isnin.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis juga mengesan empat pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.