X

Kindly register in order to view this article
!

Sindiket pelaburan, judi dalam talian tumpas

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan dijalankan di sebuah unit kondominium di Mont Kiara pada Isnin.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan saham dan perjudian dalam talian selepas menahan empat lelaki dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Mont Kiara pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komissioner Saiful Annuar Yusoff berkata, serbuan pada jam 6.35 petang itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Menurutnya, kesemua yang ditahan merupakan warga China berusia 26 hingga 32 tahun.

"Selain itu, polis turut merampas sembilan set komputer riba, 26 buah telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit tablet, tiga unit external transfer, dua unit hotspot, satu keping simkad, satu pek tambah nilai, satu unit modem dan serangkai kunci dalam serbuan tersebut.

"Turut dirampas adalah wang tunai sebanyak RM95,550 dan mata wang asing iaitu Peso 55,150 dan RMB 4,400. Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM180,000," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai dalam proses penyediaan Call Centre bagi penipuan pelaburan pasaran saham dan aktiviti perjudian dalam talian di negara China.

"Premis tersebut telah disewa sejak lima bulan yang lalu dengan bayaran sewa sebanyak RM8,000 sebulan.

"Setiap pekerja dijanjikan upah RM6,500 sebulan oleh sindiket tersebut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi terbuka dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!