Terengganu tunai 90 peratus manifesto akhir tahun ini

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu pimpinan Pas dijangka dapat menunaikan 90 peratus manifesto yang dijanjikan kepada rakyat negeri ini menjelang akhir tahun nanti.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini pihaknya sudah melaksanakan 70 peratus iaitu 14 dari 20 manifesto dalam tempoh tiga tahun pentadbiran kerajaan negeri.

"Jawatankuasa Induk Manifesto Negeri Terengganu meletakkan (sasaran) sehingga akhir tahun 2021 ini, tambahan empat lagi agenda manifesto akan dilaksanakan, menjadikan jumlahnya 18 daripada 20 manifesto atau 90 peratus.

"Walaupun dalam keadaan suasana ekonomi mencabar dan pandemik Covid-19 yang ada, kerajaan negeri tetap berusaha untuk menunaikan janji yang telah kita berikan kepada rakyat," katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan 3 Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang diadakan secara dalam talian, malam tadi.

Antara 14 manifesto itu adalah bantuan RM300 kepada belia mendapatkan lesen motosikal, menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh empat tahun, menyediakan Kad Sejahtera bernilai RM500 setahun untuk golongan berpendapatan rendah dan mengecualikan cukai pintu rumah kediaman.

Menurut Ahmad Samsuri, sebagai sebuah kerajaan yang menjadikan Islam sebagai dasar, agenda pemerkasaan Islam tetap menjadi fokus kerajaan Terengganu dengan meneruskan kesinambungan pemerkasaan syariat Islam di sini.

Beliau berkata, antara inisiatif yang diambil adalah membangunkan Garis Panduan Patuh Syariah Hiburan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan dan menubuhkan beberapa agensi bertindak seperti Skuad Amar Makruf Nahi Mungkar.

Selain itu katanya, pihaknya mewujudkan sistem pendidikan Islam yang komprehensif, bermula dari tadika dan menitikberatkan elemen patuh syariah dalam soal urus niaga kerajaan termasuk mendapatkan kembali status patuh syariah TDM Berhad, setelah beberapa tahun status tersebut ditarik.

Artikel Berkaitan:

"Pastinya proses ini perlu dilakukan dengan cermat, dan secara tadarruj (iaitu berperingkat), serta tidak tergopoh-gapah.

"Agenda pemerkasaan syariat Islam ini juga mengambil masa dan proses yang panjang. Oleh kerana itu, kerjasama dan kefahaman daripada semua pihak, amatlah diharapkan bagi merealisasi impian ini," katanya.