Rakyat bertanggungjawab pelihara khazanah alam sekitar

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalam meniti arus pemodenan dan pembangunan pesat negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah seluruh rakyat Malaysia mestilah bertanggungjawab memelihara khazanah alam sekitar.

Sebagai khalifah yang berperanan untuk memelihara persekitaran di bumi ini, Seri Paduka Baginda bertitah tugas itu bukan hanya digalas oleh kerajaan semata-mata tetapi rakyat jelata mestilah turut sama membudayakan sikap dalam aspek penjagaan alam sekitar.

“Mutakhir ini, wujud pelbagai pencemaran dan kerosakan kepada alam sekitar akibat daripada sikap serta kelemahan manusia sendiri. Kita sering kali terlupa bahawa alam sekitar adalah komponen utama yang diperlukan bagi kehidupan yang selesa.

“Maka, saya ingin mengajak setiap lapisan masyarakat tanpa mengira darjat mahupun bangsa dan agama untuk bersatu padu di dalam melestari serta menjaga alam sekitar," titah Sultan Abdullah pada istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan (DKBPWP) kepada 200 penerima sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di Istana Negara, hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar mengiringi keberangkatan Seri Paduka pada majlis yang diadakan di Balairung Seri. Turut hadir, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Menyifatkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-15 membawa pengertian besar, sementelahan ia yang pertama buat Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat hadir setelah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lepas, Seri Paduka melahirkan rasa bangga dengan kepesatan Wilayah Persekutuan.

Titah baginda, bermula daripada sebuah perkampungan bijih timah yang diterokai sekitar kurun ke-19, Kuala Lumpur kini sebuah ibu kota metropolitan yang pesat membangun manakala Putrajaya menjadi nadi pentadbiran moden negara dan Labuan dikenali sebagai pusat kewangan di luar pesisir antarabangsa.

“Saya amat bersyukur melihat komitmen berterusan kerajaan membangunkan Wilayah Persekutuan menerusi strategi pertumbuhan ekonomi yang mampan di samping membela nasib rakyat di Wilayah Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Semoga Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan saya di bawah pimpinan Memanda Perdana Menteri yang luas pengalaman, akan terus memacu peningkatan taraf sosioekonomi rakyat dan melonjakkan nama Wilayah Persekutuan di pelosok dunia,” titah Sultan Abdullah.

Sultan Abdullah melahirkan rasa bangga dengan sembah makluman kejayaan projek ‘River of Life' (ROL) yang diiktiraf sebagai satu daripada 'World's Top 10 Waterfront Districts' dan projek Taman Tugu, satu inisiatif yang membanggakan dalam memelihara khazanah warisan alam.

Selain kesepaduan rakyat memulihara alam sekitar, Yang di-Pertuan Agong bertitah perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama hendaklah menjadi asas kehidupan bermasyarakat di negara ini dan dalam mendepani hari-hari mendatang.

Menitahkan rakyat jelata agar bersepakat dan mengelak pertelingkahan, sentiasa hormat-menghormati serta menyantuni antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa, Seri Paduka menegaskan:

"Mana mungkin sebuah kapal boleh dikemudi jika awak-awak tidak bersepakat di bawah pimpinan nakhoda. Jika berterusan, lambat laun kapal tersebut akan tenggelam dipukul ombak. Begitu juga dengan hidup bermasyarakat di dalam sebuah negara. Ini kerana kesepakatan dan perpaduan adalah kunci kepada kejayaan, kemakmuran dan kesejahteraan negara”.

Memetik sirah Rasulullah yang meletakkan perpaduan sebagai asas utama dalam membentuk negara dan sentiasa menyantuni umat tanpa mengira bangsa dan darjat, perlu dijadikan iktibar, Sultan Abdullah melahirkan keyakinan Malaysia akan mengukir kejayaan lebih cemerlang apabila berupaya melintasi jurang perbezaan dan membentuk perpaduan jitu.

Sultan Abdullah turut mengingatkan penerima darjah kebesaran supaya menjaga maruah, integriti dan nama baik diri bagi mengekalkan kemuliaan dan martabat anugerah yang diterima.

Pada tahun ini, seorang individu dianugerahkan Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri dan 27 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Selain itu, 36 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW), 32 individu menerima anugerah Kesatria Mahkota Wilayah, 36 individu menerima anugerah Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 68 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW). - Bernama