Usah menghukum, jaga ibu bapa sendiri

Jangan hanya kerana tidak boleh rentas negeri maka kita tak boleh menunaikan tanggungjawab kepada ibu bapa.
Jangan hanya kerana tidak boleh rentas negeri maka kita tak boleh menunaikan tanggungjawab kepada ibu bapa.
A
A
A

SELALU kita mendengar bidalan seorang ibu boleh menjaga 10 anak tetapi 10 anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.

Apabila terdengar kisah pengabaian orang tua seperti yang tular baru-baru ini mengenai seorang ibu yang mendakwa dibuang sembilan anaknya yang tidak mahu menjaganya ketika sakit pastinya membuatkan hati kita tersentuh.

Tambahan pula, kisah itu dikongsikan ketika Ramadan pada saat anak-anak tidak berpeluang menjenguk orang tua di kampung disebabkan larangan rentas negeri.

Kisah warga emas berusia 83 tahun yang tinggal di rumah jagaan orang tua itu dilaporkan sebuah stesen televisyen yang mendakwa diabaikan anak selepas suaminya meninggal dunia sejak tiga tahun lalu.

“Saya mati atau hidup ke, mereka tak mahu datang melawat...” itu antara ayat dilontarkan warga emas yang begitu menjentik sanubari kita yang merindui orang tua sendiri.

Begitupun janganlah kita terlalu emosional kerana hanya mendengar cerita di sebelah pihak sahaja.

Menantu warga emas berkenaan tampil memberikan penjelasan apa yang diceritakan ibu mentuanya itu tidak benar.

Katanya, bukan anak-anak yang buang emak, tapi emak sendiri yang membuang anak-anak.

Artikel Berkaitan:

Pelik, bukan? Tidak pasti pihak mana benar namun kita janganlah menjadi hakim untuk menentukan siapa yang betul dan siapa yang salah.

Doakan yang baik-baik sahaja.

Seharusnya kita menjadikan kisah-kisah sebegini sebagai iktibar untuk diri sendiri. Kita memerlukan berita-berita seperti ini untuk bermuhasabah diri.

Ingatkan kepada diri sendiri untuk sayangkan ibu bapa sepertimana mereka sayangkan kita.

Ia peringatan buat diri sendiri untuk menjaga orang tua kita sendiri. Jangan nanti kisah kita pula yang menjadi bahan pelaporan berita.

Seorang anak belum diuji selagi kedua ibu bapanya belum mencapai usia tua. Sebab itu, ALLAH SWT memberi peringatan jelas kepada hamba-Nya yang bergelar anak supaya berbuat baik kepada orang tua, khususnya ketika mereka mencapai usia tua.

Firman ALLAH SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’, ayat 24).

Begitu susah ibu bapa membesarkan anak-anak hingga ada di antara mereka yang tak berganti baju bertahun lamanya semata-mata untuk menyediakan yang terbaik buat anak-anak.

Jangan apabila anak-anak sudah berjaya, ada yang sudah berkeluarga terus melupakan jasa orang tua. Janganlah sesekali meletakkan ibu bapa kita di tangga kedua selepas kita sudah berkeluarga.

Komitmen

Ada anak-anak yang beri alasan terpaksa mengurangkan duit belanja ibu bapa kerana komitmen sudah bertambah apabila sudah berkeluarga.

Mungkin ada betulnya kesusahan mereka, tetapi penulis yakin, kalau kita bijak urus kewangan, tiada istilah terpaksa kurangkan duit belanja untuk ibu bapa.

Hakikatnya, ibu bapa sanggup tidak makan untuk pastikan anak-anak cukup duit belanja untuk ke sekolah, kenapa kita tidak boleh melakukan perkara sama.

Kalau tidak mampu sediakan duit belanja pun, setidak-tidaknya jagalah kebajikan dan sentiasalah jenguk mereka.

Sibuk bukan alasan mengabaikan mereka, curi masa telefonlah mereka dan tanya khabar mereka. Ibu bapa mesti bahagia dan rasa diri mereka dihargai.

Selain itu, jangan hanya kerana tidak boleh rentas negeri maka kita tak boleh hendak menunaikan tanggungjawab kita. Lebihkanlah duit belanja, sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesedihan mereka.

Sebolehnya jagalah mak ayah kita sehingga akhir hayatnya. Berbaktilah dengan orang tua.

Setidaknya apabila mereka sudah tiada, tidaklah kita meratap menyesal kerana kita sudah lakukan yang terbaik buat mereka.

* Norafiza Jaafar ialah wartawan Sinar Harian Selangor