Elak kerisauan kesan sampingan vaksin

Petugas kesihatan melakukan persiapan sebelum memberi suntikan pada Program Suntikan Vaksin AstraZeneca Secara Sukarela di Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - Foto Bernama
Petugas kesihatan melakukan persiapan sebelum memberi suntikan pada Program Suntikan Vaksin AstraZeneca Secara Sukarela di Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - Foto Bernama
A
A
A

PADA 7 Mei, sejumlah 4,498 kes positif baharu Covid-19 dengan 22 kematian direkodkan, peningkatan hampir 1,000 kes berbanding hari sebelumnya menunjukkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan ternyata kurang berkesan membendung wabak Covid-19 terutama dengan adanya varian baharu yang lebih mencabar.

Justeru, peranan vaksin dalam memutuskan rantaian wabak penyakit dan mengurangkan kadar kematian tidak boleh dinafikan.

Sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti Covax dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin Covid-19.

Ia termasuk vaksin dua dos merangkumi vaksin daripada syarikat Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac) serta CanSinoBIO dan vaksin satu dos daripada Sputnik V.

Malaysia memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Februari lalu dengan menyuntik vaksin keluaran Pfizer-BioNTech, sebelum disusuli pemberian vaksin Sinovac pada 18 Mac lalu.

Terkini adalah pemberian vaksin AstraZeneca secara sukarela kepada individu di Selangor dan Lembah Klang yang mendaftar secara sukarela.

Orang ramai dinasihat tidak memilih jenis vaksin yang mahu disuntik kerana kesemua vaksin berkenaan mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

NPRA tidak akan meluluskan dan membenarkan apa-apa produk perubatan farmasi masuk dalam negara kita selagi tidak berpuas hati dengan dua perkara iaitu keberkesanan dan keselamatan. Maka terimalah apa saja vaksin diluluskan NPRA kerana ia selamat dan berkesan.

Artikel Berkaitan:

Tidak dinafikan timbul kebimbangan terhadap status keselamatan vaksin Covid-19 sehingga kadar pendaftaran penerima vaksin agak perlahan. Justeru, langkah memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan program imunisasi perlu ditambah baik.

Kerisauan ini wujud kerana Covid-19 wabak baharu, menyebabkan tahap keberkesanan, keselamatan dan kesan sampingan vaksin masih terhad. Rentetan itu, sebahagian rakyat mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana bimbang dengan kesan suntikan vaksin.

Kerisauan ini adalah sesuatu yang tidak berasas kerana sebelum seseorang layak menerima vaksin Covid-19, saringan alahan dan sejarah kesihatan akan dilakukan bagi memastikan individu yang layak sahaja diberi suntikan. Malah status kesihatan dan sejarah perubatan penerima vaksin tersebut akan dipantau.

Hakikatnya, jika wujud sebarang kesan alahan, termasuk kejutan anafilaksis berikutan pengambilan vaksin Covid-19, ia berupaya ditangani menerusi ubat dan mekanisme tertentu.

Di Malaysia juga tiada rekod menunjukkan berlakunya kematian akibat kesan langsung kepada vaksin Covid-19 dan tiada kesan sampingan sehingga menjadi faktor utama seseorang penerima vaksin meninggal dunia.

Semua perkara mempunyai risiko, namun apa yang perlu adalah membandingkan manfaat melebihi risiko. Lazimnya, suntikan vaksin hanya menyebabkan ketidakselesaan selama beberapa hari sahaja.

Berdasarkan laporan Pfizer, mereka yang berusia antara 18 dan 55 tahun mengalami kesan sampingan seperti demam dan sakit di bekas tempat suntikan yang lebih kerap berbanding mereka yang berusia 56 tahun ke atas.

Kesan sampingan selepas suntikan vaksin bukan indikator mutlak ia tidak selamat, sebaliknya semua kesan ini menunjukkan sistem imun badan bertindak balas untuk menghasilkan imuniti.

Kerajaan turut memperuntukkan Dana Kecederaan Vaksin Covid-19, dengan nilai keseluruhan sebanyak RM10 juta untuk menampung pembayaran pampasan kepada mana-mana individu yang mengalami sebarang kesan sampingan daripada program imunisasi. Justeru, rakyat tidak harus ragu-ragu mengenai keselamatan vaksin Covid-19!

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan Belia dan Komuniti Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia