X

Kindly register in order to view this article
!

Perisikan dan keselamatan negara

A
A

DALAM dunia perisikan, perkara paling ditakuti bukanlah kekuatan pasukan lawan sebaliknya musuh dalam selimut iaitu individu dalam agensi perisikan itu sendiri yang menjadi talam dua muka membocorkan maklumat atau menjual rahsia kepada musuh.

Ini kerana seorang perisik yang diambil menyertai organisasi tersebut telah mengangkat sumpah setia menjaga mempertahankan kedaulatan negara.

Tidak semestinya perisik membocorkan maklumat negara kepada pihak ketiga atau lawan kerana peranan talam dua muka ini boleh dilakukan sesiapa sahaja tetapi hendaklah individu berkedudukan tetapi mudah gelap mata apabila ditawarkan habuan.

Keselamatan negara misalnya pernah tergugat apabila Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Siddiq Mohamad Ghouse ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 13 Julai 1981.

Penangkapan tersebut yang mengejutkan negara menjadi tajuk besar pada paparan akhbar ketika itu, malah nama Siddiq Ghouse sangat diingati dalam sejarah kejayaan agensi perisikan negara khususnya pihak Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia memintas maklumat musuh.

Susulan insiden tersebut, kerajaan mengusir tiga orang diplomat Soviet dalam tempoh 24 jam dan mengesahkan Siddiq Ghouse telah menjadi ejen Polis Rahsia Soviet (KGB).

Tidak terkecuali juga Amerika Syarikat (AS) apabila seorang bekas pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) pada Ogos 2020 ditahan dan didakwa kerana mengintip untuk China.

Alexander Yuk Ching Ma, 67, ditangkap dan tuduhan bersekongkol dengan saudaranya, juga bekas pegawai CIA untuk menyampaikan maklumat rahsia kepada pegawai perisik China.

Mereka menggunakan kedudukan rasmi untuk menolong warga China yang memasuki AS termasuk mengakses fail-fail rahsia Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sebelum menyerahkannya kepada ejen China.

Seorang pegawai kanan Tentera Udara India pula ditahan pihak berkuasa pada Februari 2018 apabila dikesan berkongsi beberapa maklumat sulit yang dikirimkan menerusi Facebook dengan perisik Pakistan yang menyamar sebagai peragawati.

Pegawai tersebut, Arun Marwaha, 51, menjalin hubungan dengan dua wanita menggunakan nama Mahima Patel dan Kiran Randhwa tanpa menyedari telah diperdaya pihak perisikan Pakistan apabila dengan mudah jatuh hati pada kecantikan identiti wanita yang sebenarnya tidak wujud.

Menggunakan identiti palsu, pihak perisikan Pakistan mula berhubung dengan pegawai berkenaan menerusi Facebook sebelum terperangkap dalam hubungan maya apabila kerap berbual dalam talian WhatsApp.

Walaupun tiada bukti berlaku sebarang transaksi kewangan, namun perbuatan membocorkan maklumat sulit ini menyebabkan Arun Marwaha berdepan dengan hukuman penjara selama 14 tahun jika sabit kesalahan.

Perisikan era Perang Dingin pula menemui titik noktah apabila ejen Perkhidmatan Perisikan Rahsia Britain (MI6) menjadi talam dua muka kepada pihak Soviet meninggal dunia pada 26 Disember tahun lalu.

George Blake, bekas pegawai tentera laut menghembuskan nafas di Rusia pada usia 98 tahun dan pernah menjadi antara orang yang paling dikehendaki kerajaan Britain kerana mengkhianati negara apabila menjual rahsia kepada musuh.

Dia dikatakan telah mendedahkan ratusan nama ejen perisikan barat di Eropah Timur pada tahun 1950-an yang menyaksikan sebahagian besar daripada mereka dibunuh.

Identiti Blake sebagai perisik Soviet terdedah pada tahun 1961 lalu ditangkap dan dijatuhi hukuman penjara sebelum dia berjaya meloloskan diri lima tahun kemudian dan diseludup keluar oleh ejen-ejen Soviet ke Berlin Timur.

Sehingga ke akhir hayat, Blake percaya tindakannya berpaling tadah menjadi ejen komunis Soviet adalah betul.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!