Laporan EIA, SIA perlu disediakan oleh badan bebas

Jagdeep (tiga dari kanan) mengiringi Kon Yeow (tengah) ketika perasmian Seminar Pulau Pinang 2030: Penilaian Kesan Impak Sosial tadi.
Jagdeep (tiga dari kanan) mengiringi Kon Yeow (tengah) ketika perasmian Seminar Pulau Pinang 2030: Penilaian Kesan Impak Sosial tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) dan Laporan Kesan Impak Sosial (SIA) perlu dijalankan oleh badan bebas dan bukannya daripada pemaju projek sendiri.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, ia berkaitan dengan isu EIA yang mana sebelum ini kesemua yang berkaitan dengan laporan itu disediakan oleh pemaju projek.

Menurutnya, sekiranya kedua-dua laporan itu disediakan oleh pemaju projek, mereka akan berusaha untuk menampung projek berkenaan.

"Apabila mereka berusaha untuk menampung projek itu, ia akan mengundang masalah, ini kerana laporan EIA dan SIA perlu menjadi dokumen bebas yang dibuat oleh bukan dari pemaju projek, bagi memastikan laporan yang disediakan sebagai laporan bebas.

"Mungkin juga boleh terjadi jika pemaju projek sediakan laporan untuk projek sendiri akan menyebabkan penyalahgunaan kuasa," katanya.

Beliau ditemui di Seminar Pulau Pinang 2030: Penilaian Kesan Impak Sosial yang dirasmikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Bayan Baru di sini tadi.

Jagdeep Singh berkata, perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Pulau Pinang baru-baru ini.

"Kita berharap agar Rancangan Malaysia akan membincangkan perkara berkenaan dan cara untuk mengatasinya kelak.

Artikel Berkaitan:

"Jika sebuah laporan EIA yang dibuat dengan tidak adil hingga projek tersebut dijalankan dan jika berlaku sebarang tragedi seperti tanah runtuh yang melibatkan kematian, maka kesalahan itu akan diletakkan kepada kerajaan.

"Apabila tragedi seperti itu berlaku, kerajaan negeri yang perlu menjawab kepada rakyat, saya (selaku Exco Pulau Pinang) perlu jawab, Ketua Menteri pun perlu jawab," katanya.

Jagdeep Singh berkata, terdapat beberapa contoh negara luar yang telah melaksanakan polisi di mana pemaju projek akan membayar kepada perunding agar laporan yang disediakan bersifat tidak memihak.

"Dari segi pembiayaan, jika pemaju mendapatkan perkhidmatan perunding, maka pemaju itu akan membayar perunding tersebut agar laporan tersebut tidak memihak.

"Banyak negara luar telah melaksanakan perkara itu di mana pemaju perlu membayar kepada kerajaan negeri untuk membolehkan kerajaan negeri mempunyai dana bagi mendapatkan khidmat perunding bebas dalam penyediaan laporan EIA dan SIA," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Ketua Pengarah PlanMalaysia, Datuk Rokibah Abdul Latif turut bersetuju dengan kenyataan Jagdeep Singh berhubung penyediaan laporan EIA dan SIA oleh badan bebas untuk semua projek.

Pihaknya akan membincangkan perkara itu setelah mengambil kira mengenai kos pembiayaan untuk mendapatkan khidmat badan bebas berkenaan.

"Masalah yang kita hadapi adalah pembiayaan, yang akan membiayai badan-badan bebas ini untuk menjalankan laporan EIA dan SIA.

"Oleh itu, kita akan membincangkan bagaimana kita boleh melakukan perkara ini kerana laporan EIA dan SIA mestilah laporan bersifat bebas dan saksama yang disediakan oleh badan yang tidak memihak," katanya.