Lelaki ditahan disyaki teroka Hutan Simpan Bubu

gambar hiasan
gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti penerokaan haram di Hutan Simpan Bubu yang terletak dalam daerah Hutan Kinta dan Manjung pada Sabtu lepas.

Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan Negeri Perak(JPNPk) pada Isnin, lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 3 petang hasil risikan dan maklumat orang awam.

Menurutnya, ketika serbuan dibuat oleh pasukan penguat kuasa, individu terbabit sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan dengan menebang pokok-pokok hutan bagi tujuan penanaman pokok durian.

"Bagi mendapatkan keterangan lanjut, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dan pasukan serbuan turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan suspek.

"Kenderaan yang disita itu telah dibawa ke Stor Rampasan Pusing, JPNPk," menurut kenyataan itu.

Suspek kemudian telah dilepaskan dengan Bon Jaminan Polis setelah keterangannya diambil.

JPNPk berkata, jika disabitkan kesalahan suspek boleh didakwa di bawah Seksyen 32(1) dan 47(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985. - Bernama

Artikel Berkaitan: