BAM 'buka pintu' buat gandingan Peng Soon-Liu Ying, Soniia

Peng Soon dan Liu Ying kini dalam persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Julai depan.
Peng Soon dan Liu Ying kini dalam persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Julai depan.
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) membuka pintu kepada beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan pemain perseorangan wanita, Soniia Cheah untuk menyertai latihan berpusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, persatuan itu mengalu-alukan pemain yang layak ke Olimpik berlatih bersama di bawah satu bumbung menjelang Sukan Olimpik Tokyo pada Julai ini selepas latihan mereka terhenti akibat sekatan terhadap aktiviti sukan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya gembira untuk alu-alukan pemain profesional berpengalaman ini ke kemudahan kami, demi kejayaan negara kita Malaysia. Saya berharap yang mereka boleh berlatih bersama dengan baik dan pada masa yang sama bina semangat ‘esprit de corps’ antara mereka.

“Apabila tiba di Tokyo, tidak ada BAM atau pemain profesional, cuma pemain badminton dalam satu pasukan bermain demi kejayaan dan kegemilangan Jalur Gemilang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Di bawah PKP, hanya aktiviti sukan tanpa sentuhan seperti berlari dan berbasikal di kawasan terbuka sahaja dibenarkan, manakala atlet kebangsaan bersiap untuk Sukan Olimpik dan Sukan SEA 2021, perlu kembali ke pusat latihan secara dalam kuarantin.

Sementara itu, BAM juga menyatakan jika terdapat pemain profesional lain yang layak ke Tokyo sebelum tarikh akhir 15 Jun ini, mereka juga akan diajak untuk menyertai latihan berpusat di ABM.

Tambah Mohamad Norza, kesemua pemain perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan di sepanjang tempoh latihan secara kuarantin itu.

Sebelum ini dilaporkan, beberapa pemain badminton profesional, yang tidak berada di bawah naungan BAM, mengeluh kerana kesukaran mereka untuk menyiapkan diri untuk ke Sukan Olimpik disebabkan pelaksanaan PKP.

Artikel Berkaitan: