X

Kindly register in order to view this article
!

TNB perteguh komitmen bantu pemulihan ekonomi

Mahdzir (tengah) bersama Baharin (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan TNB, Nazmi Othman melihat Laporan Tahunan Bersepadu TNB di Bangsar, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) kekal teguh dalam usaha meneruskan pelaburan terhadap peralihan tenaga bagi menyokong usaha kerajaan membina semula ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, usaha yang diambil kerajaan serta pelancaran program vaksinasi memberi satu petanda optimis bahawa ekonomi negara akan kembali rancak berbanding tahun 2020, seterusnya meningkatkan permintaan bekalan elektrik.

Katanya, TNB turut menyasarkan untuk meningkatkan kecekapan industri dan menambah baik pengalaman pelanggan serta mempromosikan penggunaan tenaga mampan untuk mengimbangi kemampuan dan keselamatan sistem grid.

Beliau berkata, sejajar dengan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), permintaan dan jualan elektrik di Semenanjung turut menyusut tahun lalu.

“Bagaimanapun, prestasi kumpulan kekal kukuh untuk memenuhi polisi pembayaran dividen antara 30 peratus hingga 60 peratus berdasarkan Pelarasan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI).

“Selain pemberian dividen 22 sen sesaham, Lembaga Pengarah juga meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 18 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 40 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen sebanyak 80 sen sesaham, dengan jumlah bayaran RM4.56 bilion,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 TNB di Ibu Pejabat TNB di Bangsar, Kuala Lumpur pada Isnin.

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid

Mesyuarat yang berlangsung secara dalam talian itu turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan tertinggi TNB.

Sementara itu, Baharin berkata, TNB terus menawarkan perkhidmatan terbaik, memberi pulangan kepada pemegang saham dan berkhidmat kepada negara walaupun berdepan cabaran getir pada tahun 2020.

“Hal ini didukung strategi tangkas yang kritikal ketika pandemik bagi membolehkan TNB menyediakan bekalan elektrik yang selamat dan berdaya harap, dengan cara yang lestari untuk persekitaran, dan pada kos yang berpatutan kepada semua pemegang taruh. Ini akan menjadi fokus kami selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, TNB terus tampil dengan prestasi operasi bertaraf dunia pada tahun 2020 dengan pencapaian Indeks Tempoh Purata Gangguan Sistem (SAIDI) 44.95 minit per pelanggan setahun, berbanding 48.13 minit pada tahun 2019.

“Minit sistem meningkat kepada 0.0806 minit, 70.2 peratus lebih baik berbanding 0.2707 minit pada tahun 2019.

“Prestasi kami tahun ini adalah yang terbaik setakat ini. Untuk mencapainya ketika musim pandemik mencerminkan komitmen dan dedikasi warga kerja kami,” ujarnya.

Menurut Baharin, sebagai syarikat yang mengutamakan kepentingan pemegang taruh, amat kritikal bagi TNB untuk kekal berdaya tahan dari segi kewangan dan teknikal berdasarkan percaturan strategi yang mantap.

Baharin Din
Baharin Din

“Tahun 2020 merupakan titik pertengahan perjalanan strategik Reimagining TNB (2016-2025), iaitu dengan pertumbuhan pesat peralihan tenaga global, kami mengkaji bagaimana TNB mampu memperkukuh kedudukannya dalam lapangan tenaga masa hadapan dan seterusnya mengatur semula strategi kami.

“Sejajar dengan aspirasi yang diperbaharui, pencapaian kami setakat ini membuktikan komitmen kami untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan,” katanya.

Beliau berkata, TNB telah mengguna pakai teknologi baru RE seperti solar, angin, biojisim dan biogas yang diterjemahkan kepada kapasiti penjanaan sebanyak 713.2MW.

“Pemasangan meter pintar di premis-premis di Semenanjung Malaysia telah mencapai 1.1 juta setakat Mac 2021, sejajar dengan penambahbaikan infrastruktur elektrik oleh TNB untuk membolehkan integrasi teknologi baharu.

“Usaha berterusan anak syarikat milik penuh TNB, GSPARX Sdn Bhd pula menyaksikan 689 kontrak pemasangan panel solar yang menyumbang kepada penjanaan tenaga hijau sebanyak 85 MWp,” jelasnya.

Menurut Baharin, TNB menetapkan sasaran untuk meningkatkan kapasiti penjanaan RE kepada 8,300MW menjelang 2025 yang didukung inisiatif di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Setakat Mac 2021, kami mencapai 3,402MW kapasiti RE, 2,736MW daripadanya di Malaysia, manakala 666MW di peringkat antarabangsa.

“Sebagai pelengkap kepada sasaran ini, pendapatan daripada RE dijangka mencatatkan pertumbuhan kepada 10 peratus pada 2025 daripada 4 peratus pada 2020 dan menjangkakan pendapatan daripada pelaburan dalam inisiatif berkait peralihan tenaga untuk berkembang daripada 4 peratus kepada 9 peratus pada 2025,” katanya.

Baharin menegaskan, TNB kini melakukan pelaburan yang lebih besar bagi perbelanjaan modal (CAPEX) untuk penambahbaikan grid yang berperanan penting bagi menyokong inisiatif peralihan tenaga Malaysia.

“Perbelanjaan modal dikawal selia berkaitan peralihan tenaga dijangka akan meningkat daripada 12.3 peratus kepada 19.3 peratus menerusi inisiatif yang dicadangkan dalam RP3 dan pelaburan ini akan membolehkan integrasi RE yang lebih banyak ke dalam sistem.

TNB menutup Tahun Kewangan 2020 dengan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM3.6 bilion berbanding RM4.45 bilion tahun sebelumnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!