Perlis benarkan solat Aidilfitri di tanah lapang

Solat sunat Aidilfitri di seluruh negeri Perlis akan dilaksanakan di tanah lapang dengan pengawasan pihak masjid.
Solat sunat Aidilfitri di seluruh negeri Perlis akan dilaksanakan di tanah lapang dengan pengawasan pihak masjid.
A
A
A

KANGAR - Solat sunat Aidilfitri di seluruh negeri Perlis akan dilaksanakan di tanah lapang menurut sunnah dengan pengawasan pihak masjid berhampiran bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah solat itu akan diadakan pada jam 8 pagi.

Bagaimanapun baginda bertitah, sekiranya cuaca tidak bersesuaian seperti hujan lebat, solat boleh dilakukan di dalam masjid dengan kapasiti keluasan maksimum mengikut prosedur operasi standard (SOP) pada 8.30 pagi.

“Solat Aidilfitri tidak dibenarkan didirikan di mana-mana surau atau dewan orang ramai tanpa kelulusan pihak berkuasa agama terlebih dahulu,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Isnin.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah berkenan untuk berangkat menunaikan solat Aidilfitri bersama-sama rakyat di Dataran Istiadat, pekarangan Istana Arau.

“Semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan yang telah ditetapkan dan pengurusan masjid berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi SOP,” titah baginda.

Titah baginda, orang ramai digalakkan untuk membawa uncang pembungkus kasut bagi menjaga kesucian serta membawa payung ke tempat solat untuk persiapan ketika panas dan hujan.

“Mereka yang telah merentas sempadan ke Perlis, solat Aidilfitri hendaklah dilaksanakan di rumah atau tempat tinggal masing-masing bagi meminimumkan risiko penularan wabak Covid-19,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, jamuan Aidilfitri di tempat solat boleh dilaksanakan dengan cara mengedarkan makanan yang siap dibungkus sahaja. - Bernama