X

Kindly register in order to view this article
!

Skuad Harimau Malaya lengkap dua dos vaksin Covid-19

Aidil Zafuan (tengah) bersama Nazmi Faiz (kiri) dan Danial Amier bergambar bersama plakad selepas selesai menerima dos kedua suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin di Presint 15, Putrajaya pada Isnin. Foto Bernama
A
A

SUNTIKAN dos kedua vaksin Covid-19 memberi skuad kebangsaan keyakinan dari sudut kesihatan apabila turun beraksi pada saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun ini.

Ia juga merupakan agenda utama pasukan kebangsaan bimbingan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe sebelum kesemua pemain skuad Harimau Malaya dikumpulkan dalam kem latihan pusat bermula 16 Mei ini.

Cheng Hoe berkata, suntikan dos kedua vaksin memberi ‘ketenangan minda’ kepadanya tatkala jumlah kes positif masih mencatat angka yang membimbangkan menjelang kem latihan pusat, namun optimis barisan pemain akan hadir dalam keadaan kesihatan terbaik.

“Yang penting kita rasa selesa dan fikiran kita tenang, sebab kita tengok sekarang kes agak banyak. Sebagai jurulatih, saya risau juga mengenai kesihatan barisan pemain.

“Dan sudah tentu selepas selesai terima dos kedua, kita akan dapat lebih fokus kepada tugasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas selesai mendapatkan suntikan dos kedua di Dewan Seri Seroja di Putrajaya pada Isnin.

Cheng Hoe dan barisan pegawai pasukan kebangsaan termasuk 29 pemain negara hari ini melengkapkan kitaran vaksin Covid-19 dengan suntikan dos kedua selepas menerima dos pertama pada 19 April lepas.

Kapten skuad Harimau Malaya, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak bersama-sama barisan pemain Muhammad Safawi Rasid, Brendan Gan, Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha, Muhammad Syahmi Safari dan Mohd Farizal Marlias antara pemain negara yang menerima suntikan itu.

Turut mendapatkan dos kedua suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu adalah dua Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S.Sivasundaram.

Sementara itu, Mohd Farizal berkata, suntikan vaksin itu membina keyakinan kepada pemain yang akan berdepan UAE, Vietnam dan Thailand dalam saingan Kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Bagi saya ini adalah satu perlindungan kepada pemain, jadi saya mengharapkan ia (vaksin) lebih selamat untuk masa akan datang. Saya juga harap pemain akan bersedia dari segi fizikal dan juga mental,” katanya.

Dalam pada itu, Brendan menyarankan supaya orang ramai tidak berasa takut untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

"Saya sangat berbesar hati kerana dapat suntikan vaksin dan menjadi sebahagian daripada kumpulan ini. Kebanyakan orang di luar sana perlu mendapatkan vaksin ini terutama mereka yang berisiko dan dalam kategori risiko.

"Vaksin adalah sesuatu yang positif dan saya berpendapat anda tidak perlu risau tetapi pada masa yang sama, kita juga harus berhati-hati," tambahnya.

Malaysia akan bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi berdepan Vietnam (11 Jun) sebelum menamatkan kempen Kumpulan G menentang Thailand pada 15 Jun.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!