Siasatan belum selesai, tiada kompaun dikeluarkan setakat ini

Vidoe tular Awie dan beberapa individu semasa menghadiri satu majlis misi kemanusiaan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuan, Melaka.
Vidoe tular Awie dan beberapa individu semasa menghadiri satu majlis misi kemanusiaan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuan, Melaka.
A
A
A

MELAKA - Tiada sebarang kompaun dikeluarkan terhadap kes siasatan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 melibatkan penyanyi rock, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie dalam program misi kemanusiaan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini setakat ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, ini kerana kes berkenaan masih dalam siasatan, dan proses mengambil keterangan semua individu yang terlibat dalam kes pelanggaran SOP di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini sedang dilakukan.

Beliau berkata, setakat ini pegawai penyiasat telah ke rumah Awie di Ampang, Kuala Lumpur pada Ahad untuk mengambil keterangannya dan penganjur program tersebut iaitu pihak hotel berkenaan juga telah diambil keterangan.

“Hanya beberapa individu daripada persatuan beca yang terlibat dalam program itu masih belum dipanggil dan ia akan dilakukan secepat mungkin bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kita tidak tuduh beliau lagi (Awie) kerana siasatan belum selesai. Tindakan dan arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya pun belum kita peroleh, jadi macam mana bayaran saman itu dibayar?” katanya pada sidang akhbar berkaitan perkembangan Covid-19 di Melaka di sini pada Isnin.

SAC Razali Abu Samah
SAC Razali Abu Samah

ARTIKEL BERKAITAN: Polis panggil Awie beri keterangan video tular

Pada Isnin media melaporkan pengurus Awie, Mubarak Akhtar mendakwa penyanyi berkenaan telah membayar saman atas pelanggaran SOP yang dilakukan artis berkenaan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, media turut melaporkan Polis Melaka akan memanggil beberapa individu, termasuk selebriti itu bagi membantu siasatan berhubung kes melanggar SOP ketika mengambil bahagian dalam satu program misi kemanusiaan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Razali berkata, sebanyak 39 anggota, pegawai dan kakitangan awam polis Melaka serta ahli keluarga mereka dilaporkan positif Covid-19 dalam tempoh 1 Januari hingga 9 Mei.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada tiga pegawai kanan, tujuh pegawai rendah, enam kakitangan awam polis dan 23 ahli keluarga mereka.

“Secara keseluruhan sebanyak 297 anggota, pegawai dan kakitangan awam polis Melaka serta ahli keluarga mereka dikuarantin dan sehingga kini, sebanyak 294 orang telah tamat kuarantin,” katanya.

Sementara itu, Polis Melaka telah mewujudkan pusat panggilan, bagi menjawab semua persoalan rakyat berhubung kekeliruan SOP terbaharu yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, rakyat negeri itu boleh menghubungi pusat panggilan berkenaan di talian 06-2854222 (sambungan 4156) yang beroperasi selama 24 jam. - Bernama