Lapor polis ulat parkir minta wang

Abd Rahim (tengah) bersama pegawai pengurusan tertinggi MPT selepas sidang mesyuarat bulan penuh ahli majlis MPT, hari ini.
Abd Rahim (tengah) bersama pegawai pengurusan tertinggi MPT selepas sidang mesyuarat bulan penuh ahli majlis MPT, hari ini.
A
A
A

TAIPING - Pengguna kenderaan di bandar ini digesa membuat laporan polis terhadap sebarang aktiviti memungut duit tiket parkir kenderaan secara haram daripada ulat parkir.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, sehingga kini, pihaknya tidak pernah mengeluarkan kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengutip duit tiket parkir kenderaan di kawasan bandar Taiping.

“Ulat parkir yang mengutip wang parkir secara haram boleh dikenakan tindakan tegas dan MPT sedia bekerjasama dengan polis bagi melakukan operasi membanteras kegiatan ulat parkir haram di bandar ini.

“Pengguna kenderaan pula diminta jangan membayar kepada ulat parkir sekiranya diminta berbuat demikian pada waktu malam dan segera lapor polis jika keengganan mereka mengundang ancaman,” katanya kepada media selepas sidang mesyuarat penuh bulanan ahli majlis MPT di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan pengguna terpaksa membayar wang parkir oleh ulat yang beroperasi di Jalan Tupai Lane dan Doby Lane di sini pada waktu malam bagi mengelak kenderaan mereka dirosakkan jika enggan membayar sejumlah wang yang diminta ulat parkir.

Abd Rahim berkata, MPT serius memantau aktiviti haram itu meskipun kegiatan ulat parkir berkenaan diklasifikasikan tidak serius ketika ini.

Dalam pada itu, menurutnya MPT mengenakan kompaun ke atas kira-kira 136 orang atas kesalahan membuang sampah secara haram di tempat yang tidak dibenarkan di Taiping dari Januari hingga September tahun ini.

“Kita turut mengenal pasti 33 lokasi pembuangan sampah haram termasuk tiga yang meliputi kawasan penempatan Changkat Larah dan Dewan Perbandaran Kamunting kini diisytiharkan bebas sampah haram.

“Mereka yang terbabit dikenakan kompaun antara RM250 hingga RM500 dan MPT juga meletakkan anggota penguat kuasa 24 jam untuk mengawasi lokasi panas dikenal pasti,” katanya.

Artikel Berkaitan: