X

Kindly register in order to view this article
!

Geng Nicky: Dua pegawai SPRM mohon habeas corpus

A
A

KUALA LUMPUR - Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky memfailkan permohonan habeas corpus untuk dibebaskan serta-merta.

Kedua-dua pemohon berusia 41 dan 42 tahun itu masing-masing memfailkan permohonan habeas corpus melalui notis usul secara berasingan di Mahkamah Tinggi di sini pada 5 Mei lepas menerusi Tetuan Daim & Gamany.

Dalam permohonan tersebut, mereka masing-masing menamakan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, seorang pegawai polis, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga kelima.

Pada prosiding pengurusan kes tersebut pada Isnin, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan 24 Mei ini untuk pendengaran permohonan kedua-dua mereka.

Kedua-dua pemohon itu diwakili peguam Latheefa Koya manakala Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti bertindak bagi pihak semua responden.

Dalam permohonan itu, kedua-dua lelaki berkenaan memohon perintah bahawa penangkapan dan penahanan mereka masing-masing pada 21 dan 27 April lepas adalah tidak teratur, di luar bidang kuasa kawasan polis Johor dan tidak sah.

Mereka juga mendakwa bahawa siasatan yang dilakukan di bawah Seksyen 130V sehingga 130ZB Kanun Keseksaan adalah terlampau luas dan merangkumi elemen-elemen yang berbeza dan responden-responden tidak mempunyai asas untuk menahan pemohon di bawah SOSMA.

Selain itu, mereka turut mendakwa tiada unsur kesalahan yang membenarkan penggunaan SOSMA dan penahanan mereka adalah tidak sah, melanggar undang-undang dan bersifat mala fide kerana bercanggah antara lain dengan Fasal 5 dan Fasal 149 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 9 April lepas, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.

Nicky, 33, merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lepas. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!