Bakal jemaah haji diminta bersedia tahun ini: TH

Kenyataan akhbar oleh TH pada Isnin.
Kenyataan akhbar oleh TH pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) meminta bakal jemaah haji Malaysia untuk bersedia sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah luar negara untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, nasihat itu dikeluarkan selepas Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menyatakan bahawa ibadat haji akan diteruskan pada tahun ini dengan mengikut peraturan kesihatan, keselamatan dan pengawalseliaan yang ditetapkan.

“Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi juga menegaskan bahawa pihak berkuasa kesihatan di negara itu akan terus menilai dan mengambil segala langkah untuk memastikan kesihatan para jemaah haji terjaga.

“Kenyataan akhbar oleh kementerian tersebut turut memaklumkan bahawa butiran pelan kawalan serta operasi untuk musim haji tahun ini akan diumumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Syed Saleh berkata, TH telah pun memulakan persiapan awal sejak tahun lalu dengan mengambil kira setiap prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan serta amalan normal baharu dalam urusan pengendalian operasinya sama ada di tanah air mahupun di Arab Saudi.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan Malaysia dan TH masih menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan urusan haji dan jumlah jemaah haji yang dibenarkan tahun ini.

“TH akan memaklumkan perkembangan terbaharu sebaik sahaja mendapat pengumuman rasmi berkaitan kuota haji, kriteria jemaah dan syarat-syarat utama yang harus dipatuhi oleh semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadah tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Syed Saleh berkata, TH juga berharap semua jemaah haji Malaysia bersedia untuk mengambil suntikan wajib meningococcal serta vaksin Covid-19 apabila dipanggil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Semua bakal haji disaran membuat persiapan sewajarnya dari segi ilmu, kesihatan, rohani dan jasmani serta kewangan.

“TH telah menganjurkan kursus-kursus asas haji dalam talian bermula sejak awal tahun ini dan akan mengadakan kursus haji perdana secara dalam talian pada Syawal nanti sebagai persediaan melengkapkan bakal haji dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadah haji serta mendapat gambaran suasana terkini.

“Jemaah yang terpilih turut diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera,” katanya.