X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Penjawat awam kekal profesional: Cuepacs

Adnan Mat
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin politik perlu memberi keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap profesionalisme penjawat awam yang kekal konsisten.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, penjawat awam kekal berfungsi sebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan dan negara.

Menurutnya, gesaan supaya penjawat awam yang tidak selesa dengan kerajaan hari ini melepaskan jawatan, memberi gambaran seolah-olah mereka tidak amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat serta negara.

"Setiap penjawat awam pasti ada ideologi dan pandangan politik masing-masing, namun Cuepacs memberi jaminan mereka sangat profesional dan berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab serta boleh membezakan kepentingan awam yang dipikul.

"Dalam keadaan kerajaan dan kepimpinan tertinggi bertukar ganti, penjawat awam setia melaksanakan setiap dasar yang diputuskan demi kebaikan rakyat dan negara dengan penuh profesionalisme," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Isnin yang mahu penjawat awam mengikut arahan kerajaan yang dikuasai parti memerintah walaupun mereka tidak menyokong parti yang membentuk kerajaan itu.

Abdul Hadi berkata, sekiranya penjawat awam tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong, mereka boleh meletak jawatan.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, Cuepacs berharap tiada lagi tuduhan atau timbul persepsi penjawat awam tidak menyokong atau mensabotaj kerajaan.

Tegasnya, selama ini penjawat awam membantu melaksanakan segala dasar kerajaan dalam membangunkan negara dan memelihara kesejahteraan rakyat.

"Sejarah membuktikan penjawat awam tiada masalah dalam melaksanakan amanah walaupun berlaku peralihan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan sekali lagi tahun lalu.

"Tidak timbul isu sabotaj, malah penjawat awam kekal komited membantu kerajaan mendepani cabaran pandemik Covid-19," katanya.

Katanya, adalah tidak wajar membangkitkan perkara yang cuba mengaitkan profesionalisme penjawat awam ketika semua pihak fokus mendepani cabaran pandemik ketika ini.

Dalam pada itu, Cuepacs mengingatkan semua penjawat awam sentiasa mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

"Sekali lagi, pengorbanan supaya kita tidak melakukan perjalanan balik kampung dengan merentas daerah atau negeri amat diperlukan ketika petugas barisan hadapan bertungkus-lumus di 'medan perang' melawan Covid-19.

"Cuepacs berharap masyarakat memberi kerjasama kepada penjawat awam yang bertugas terutama dalam menguatkuasakan peraturan PKP," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!