Awas, polis juga pantau lorong tikus!

Aliran trafik kelihatan terkawal menghala ke Pantai Timur berikutan orang ramai cuba untuk merentas negeri atau daerah dengan kebenaran PDRM ketika tinjauan di plaza tol Bentong, hari ini. Foto Bernama
Aliran trafik kelihatan terkawal menghala ke Pantai Timur berikutan orang ramai cuba untuk merentas negeri atau daerah dengan kebenaran PDRM ketika tinjauan di plaza tol Bentong, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Degil dan tegar mencuba nasib, itu yang berlaku apabila masih ada lagi rakyat Malaysia cuba merentas negeri, walaupun arahan bagi mengekang Covid-19 itu telah mula berkuatkuasa hari ini.

Di KELANTAN, walaupun dilaporkan lebih 1,000 kenderaan yang cuba memasuki negeri itu diarah berpatah balik pada Ahad, hari ini 366 lagi diarah berbuat demikian sejak jam 12 tengah malam hingga 7 pagi Isnin, kerana tidak mempunyai surat kebenaran polis.

“Setakat sekatan dilakukan di tiga pintu masuk ke Kelantan iaitu Jeli, Gua Musang dan Pasir Puteh dilakukan, kita sudah merekodkan sebanyak 1,426 kenderaan yang diarah berpatah balik,” kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, pihaknya akan memperketatkan kawalan Sekatan Jalan Raya (SJR) di tiga sempadan tersebut, bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai surat kebenaran sah dibenarkan masuk, termasuk memantau setiap laluan tikus kerana percaya akan ada cubaan untuk memasuki negeri berkenaan melalui lorong tikus.

Justeru, pasukan keselamatan di beberapa negeri di seluruh negara juga, telah bersiap siaga di setiap SJR yang ditentukan, bagi memastikan cubaan rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran dapat dipatahkan, termasuklah di lorong-lorong tikus.

Di NEGERI SEMBILAN, Ketua Polis Negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, sebanyak 15 SJR sedia ada di beberapa daerah sebelum ini masih diteruskan, selain menambah sembilan lagi menjadikan keseluruhan berjumlah 24 SJR, bagi memperkukuh sekatan sempadan daerah negeri.

“Memandangkan masyarakat tidak dibenarkan untuk merentas daerah dan negeri, saya menasihatkan supaya mereka untuk tidak berbuat demikian kerana ini akan mengundang padah, sekiranya mereka melanggar arahan ini tindakan kompaun akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat di negeri ini, untuk tidak menggunakan lorong tikus bagi memboloskan diri, melepasi sempadan daerah atau negeri kerana polis memantau setiap pergerakan pengguna jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di SELANGOR walaupun tiga daerah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pergerakan trafik masih dipantau di daerah-daerah tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya telah mengadakan lima sekatan jalan raya di Kuala Selangor dan dua sekatan jalan raya bersasar, iaitu dengan melakukan pemantauan pergerakan orang awam.

“Jika berlaku banyak pergerakan melibatkan orang awam, kita akan laksanakan sekatan jalan raya di kawasan tersebut, yang pasti di susur keluar lebuh raya akan ada sekatan jalan raya,” katanya.

Enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang, telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 6 hingga 17 Mei.

Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor, masih kekal di bawah PKPB.

Di PAHANG, sebanyak 32 SJR di sempadan daerah dan negeri telah dilaksanakan, melibatkan penugasan lebih 150 anggota polis yang dibantu oleh pasukan keselamatan lain.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sebanyak 15 SJR dilaksanakan di sempadan negeri manakala 17 lagi di sempadan daerah.

“Bagi daerah Kuantan yang dikenakan PKP hari ini, terdapat enam SJR. Selain itu, bagi lorong-lorong tikus kita lakukan pemeriksaan secara ‘snap check’, oleh kereta peronda polis (MPV),” katanya.

Anggota Polis Trafik memeriksa surat kebenaran merentas negeri atau daerah ketika tinjauan di plaza tol Bentong, hari ini. Foto Bernama
Anggota Polis Trafik memeriksa surat kebenaran merentas negeri atau daerah ketika tinjauan di plaza tol Bentong, hari ini. Foto Bernama

Sementara itu di TERENGGANU, sebanyak 25 SJR dilaksanakan susulan larangan rentas negeri dan daerah, yang berkuat kuasa hari ini hingga 6 Jun.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 SJR yang dijalankan di pintu sempadan negeri ini, termasuk lorong tikus akan beroperasi selama 24 jam, manakala selebihnya beroperasi selama lapan atau 16 jam, mengikut keadaan semasa sesuatu lokasi.

“Seramai 216 anggota terdiri daripada 108 polis dan 108 tentera bertugas secara bergilir, di semua lokasi SJR bermula 8 pagi tadi,” katanya.

Di KEDAH, seramai 481 pegawai dan anggota polis ditugaskan menjaga 24 lokasi SJR, yang ditempatkan di sempadan daerah dan negeri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa hari ini sehingga 6 Jun depan.

Pegawai Turus Ketenteraman Awam Kontinjen Kedah, Asisten Superintendan Zaiyadur Rashad Hassan berkata, sebanyak tujuh lokasi SJR ditempatkan di sempadan daerah, manakala 17 lokasi SJR ditempatkan di sempadan negeri.

“Bagi sempadan daerah, ia melibatkan SJR di hadapan Balai Polis Kota Sarang Semut bagi daerah Kota Setar; SJR Jalan Bandar Puteri Jaya (Kuala Muda); SJR Jalan Kepala Batas (Kubang Pasu); SJR di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Yan (Yan); SJR Jalan Titi Jeniang (Sik) dan SJR Lebuhraya BKE-Binjul dan SJR Jalan Kuala Ketil di daerah Baling.

“Sementara itu, di sempadan negeri pula sebanyak 17 SJR diwujudkan, yang mana melibatkan daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu, Kulim, Baling, Pendang dan Bandar Baharu,” katanya di sini, hari ini.

Di SABAH pula, Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Hazani Ghazali berkata, sebanyak 51 SJR dilakukan bagi mengawal laluan keluar masuk di daerah negeri ini, susulan larangan rentas negeri dan daerah dilaksana bermula hari ini sehingga 16 Mei mengikut arahan kerajaan negeri.

“SJR ini bagi mengawal pergerakan rentas daerah termasuklah taman-taman, kampung, perkuburan, pasar raya dan tempat-tempat tumpuan semasa tempoh Hari Raya, bagi Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang dikategorikan sebagai satu daerah.

“Pegawai dan anggota bertugas melibatkan 355 pasukan pemantauan Covid-19 dengan kekuatan 2,103 orang, bagi memastikan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis juga masih menerima banyak permohonan daripada orang ramai untuk merentas daerah serta negeri pada sambutan Hari Raya ini, dan antara alasan yang diberikan ialah pulang memberi wang hari raya kepada keluarga.

“Permohonan akan ditolak berikutan alasan yang tidak munasabah, bagi mereka yang melanggar SOP, kompaun akan tetap dikeluarkan,” katanya.

Kerajaan Sabah sebelum ini membenarkan rentas daerah mengikut enam zon yang telah ditetapkan.

Enam zon itu nialah Zon 1: Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar; Zon 2: Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang; Zon 3: Kudat, Kota Marudu dan Pitas; Zon 4: Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod; Zon 5: Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan; dan Zon 6: Keningau, Tambunan dan Tenom. - Bernama