Berhenti berniaga, berpindah demi anak hidap leukemia

Nur Khayla disahkan mengidap penyakit leukemia sejak Disember tahun lalu.
Nur Khayla disahkan mengidap penyakit leukemia sejak Disember tahun lalu.
A
A
A

TEMERLOH - Sepasang suami isteri bukan sahaja terpaksa berhenti berniaga, namun juga terpaksa berpindah ke Shah Alam demi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap rawatan anak tunggal mereka yang menghidap leukemia.

Anak pasangan berkenaan, Nur Khayla Muhammad Amirul yang berusia setahun 4 bulan kini perlu berulang-alik ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak disahkan mengidap leukemia pada Disember tahun lalu.

Peniaga makanan, Muhammad Amirul Syazwan Jafri, 29, dan isterinya, Nur Hilmiah Azman, 25 dari Kampung Teluk Ira, Temerloh juga perlu berkorban dengan berpindah dari rumah mereka di Kampung Teluk Ira di sini ke rumah sewa di Shah Alam demi rawatan anak mereka.

Menurut Muhammad Amirul, pada mulanya, Nur Khayla mengalami demam yang mana demam berkenaan sekejap baik dan sekejap datang semula secara berterusan.

Nur Khayla perlu menjalani kimoterapi sejak disahkan menghidap leukemia.
Nur Khayla perlu menjalani kimoterapi sejak disahkan menghidap leukemia.

"Kami ingatkan ia kerana faktor tumbuh gigi dan membawanya ke klinik seperti biasa sebelum kali terakhir dia muntah menyebabkan kami segera membawanya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah pada 4 Disember lalu.

"Nur Khayla kemudiannya disahkan 90 peratus menghidap leukemia dan untuk pengesahan sepenuhnya, doktor merujuk kes anak saya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), tetapi di sana ketika itu penuh sebelum anak saya dirujuk ke PPUM dan akhirnya dia disahkan mengidap penyakit tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan sebanyak RM6,575 menerusi Tabung Peduli Adik Nur Khayla yang dianjurkan oleh Amanah Kawasan Temerloh dan Persatuan Penggerak Anak Semantan Temerloh (Santun) di Kampung Teluk Ira di sini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Amanah Kawasan Temerloh, Azizul Shah Mohd Noor dan Pengerusi Santun, Mohd Fakarudy Kamarizan.

Amirul berkata, dia terkejut apabila mengetahui anaknya itu menghidap leukemia kerana Nur Khayla normal selain sihat sebelum ini.

"Kami juga tidak dapat berniaga seperti sebelum ini selepas berpindah ke Shah Alam kerana perlu menjaga Nur Khayla sebaik mungkin daripada terkena sebarang jangkitan kuman.

"Saya pernah bekerja di sebuah kilang ais batu di Shah Alam, namun keadaan anak memerlukan penjagaan rapi memberikan sedikit kesukaran terutamanya bila dia demam, kena terus rujuk ke wad untuk rawatan selain perlu menjalani kimoterapi secara berkala," katanya.

Amirul (depan, tiga dari kiri) menerima replika cek sumbangan yang disampaikan oleh Azizul (tengah) di Kampung Teluk Ira, Temerloh pada Ahad.
Amirul (depan, tiga dari kiri) menerima replika cek sumbangan yang disampaikan oleh Azizul (tengah) di Kampung Teluk Ira, Temerloh pada Ahad.

Namun Muhammad Amirul bersyukur apabila beban dialaminya sekeluarga diringankan dengan bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu hari ini (Ahad) iaitu Amanah dan Santun yang peka dengan nasib anak kami," jelasnya.

Sementara itu, Azizul memberitahu, penganjuran tabung tersebut sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib yang menimpa kanak-kanak tersebut.