X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di Felda Kahang Timur, Johor dan Kampung Bako Hilir, Sarawak

Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mukim Hulu Besut, Terengganu mulai 11 hingga 20 Mei.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Felda Kahang Timur, Kluang, Johor dan Kampung Bako Hilir, Kuching, Sarawak mulai Rabu (12 Mei) hingga 25 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan berlaku peningkatan jumlah kes dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di kedua-dua lokaliti itu.

“Di Felda Kahang Timur, PKPD diperlukan kerana taburan kes yang menyeluruh memerlukan tindakan kawalan dan pencegahan kawalan yang lebih besar, susulan itu semua aktiviti yang berisiko tinggi dihentikan.

“PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes serta menyekat penularan jangkitan kes Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain di luar lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKP, di sini pada Isnin.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut dilaksanakan di kawasan Mukim Hulu Besut di Daerah Besut, Terengganu bermula esok (11 Mei) sehingga 20 Mei ini.

Dalam pada itu, PKPD di Felda Umas, Kalabakan, Sabah yang dijadual tamat esok, dilanjutkan hingga 25 Mei, berikutan KKM melaporkan masih berlaku penularan jangkitan di kawasan itu serta terdapat baki sampel saringan yang belum mendapat keputusan.

Menteri Pertahanan itu turut memaklumkan, dua kawasan PKPD iaitu Maahad Tahfiz Al-Azhari (MTAZ), Machang di Kelantan dan Kampung Bangkahulu, Gemas di Negeri Sembilan masing-masing ditamatkan pada Isnin, lebih awal daripada yang dijadualkan pada 12 Mei.

“Penamatan PKPD bagi dua kawasan itu dibuat setelah KKM melaporkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala kes terakhir di dua kawasan itu direkodkan pada 4 Mei dengan satu kes,” katanya.

Ismail Sabri berkata, PKPD di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman dan PPR Batu 8 Jalan Apas, Tawau, Sabah pula ditamatkan esok seperti dijadualkan berikutan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal serta tiada lagi sampel saringan sedang menunggu keputusan.

Sementara itu, PKPD di Kompleks Abedon (Bumiwealth, Kolopis & Tanaki), Kinabatangan, Sabah serta Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Balingian, Sibu, Sarawak dijadualkan tamat esok mengikut jadual.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, sebanyak 460 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam, dengan 456 daripadanya dikompaun dan empat lagi direman.

Bagi Op Benteng pula, 20 pendatang tanpa izin ditangkap dan sebuah kenderaan darat dirampas semalam. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!