PKP tiada penghujung, beri 'talian hayat' kerajaan PN

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara sinis mempersoalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tiada penghujungnya ketika ini berkemungkinan akan berlanjutan hingga tahun 2023 bagi memberi talian hayat kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Zahid berkata, kes harian Covid-19 pada Jumaat mencatatkan peningkatan kepada 4,498 kes pada Jumaat meskipun PKP 3.0 telah dilaksanakan.

“Saya tertanya adakah perkara seumpama ini akan dibiarkan berlarutan sehinggalah 9 Mei 2023. Maklumlah untuk memberi talian hayat.

“Di mana silapnya? Salah rakyat atau salah program vaksinasi yang perlahan? Patutkah kesalahan itu ditujukan pada rakyat sedangkan larangan rentas daerah sudah dikuatkuasakan? Adakah salah anggota polis tidak memperketatkan sekatan jalan?” soalnya dalam siaran di Facebook miliknya pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, tidak wajar jika kesalahan hanya ditujukan kepada pihak penguat kuasa dan orang ramai sahaja.

“Seringkali kita menuduh rakyat bawahan sebagai punca tetapi pernahkah kita terfikir kesalahan pemimpin?

“Apabila orang ramai menggelarkan PKP seperti telur separuh masak, para menteri berasa marah.

“Marah sahaja tetapi tidak diambil pengajaran berlandaskan beberapa kali PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Mei, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di enam daerah di Selangor bermula pada Khamis sehingga 17 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam daerah yang terlibat ialah daerah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.