Wanita Vietnam mengaku tidak salah rasuah polis RM5,000

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan memberikan suapan sebanyak RM5,000 kepada seorang pegawai polis di Tangkak pada April tahun ini.

Ngo Thi Ngoc Thu, 42, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Ngo, kontraktor pemasangan jubin, dituduh memberikan suapan itu kepada Inspektor Polis Louis Moh Chung Wen di Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak sebagai dorongan untuk melepaskan dua pekerjanya yang ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri sah dan surat kebenaran rentas negeri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pegawai Penyiasat, BSJ IPD Tangkak pada 23 April kira-kira 2.15 petang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama iaitu dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM Johor, Suhaila Sapuan mencadangkan kepada mahkamah agar tertuduh tidak diberikan jaminan kerana khuatir akan melarikan diri disebabkan permit kerjanya di Malaysia sudah tamat tempoh pada 18 April.

Bagaimanapun cadangan itu dibantah oleh peguam tertuduh, R S Amarpreet Singh kerana memaklumkan bahawa anak guamnya mempunyai pas khas diberikan oleh pihak Jabatan Imigresen bagi membolehkannya berada di negara ini secara sah sehingga 21 Mei sementara dalam proses memperbaharui permit kerjanya.

Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan, perlu melapor diri setiap 2 hari bulan di pejabat SPRM Kluang sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

Kes turut ditetapkan untuk disebut semula pada 23 Mei ini. - Bernama