Sindiket curi, seludup kenderaan mewah tumpas

Lei Choo (kanan) menunjukkan antara kenderaan yang berjaya dirampas semula susulan tangkapan sindiket curi kenderaan mewah dalam serbuan di Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur sejak 1 Mei lalu.
Lei Choo (kanan) menunjukkan antara kenderaan yang berjaya dirampas semula susulan tangkapan sindiket curi kenderaan mewah dalam serbuan di Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur sejak 1 Mei lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket curi kenderaan mewah dikenali 'King' yang mempunyai rangkaian di negara jiran berjaya ditumpaskan dalam serbuan di Kelantan, Selangor dan ibu negara sejak 1 hingga 10 Mei.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, operasi ini berjaya memberkas 13 individu berusia 24 hingga 54 tahun terdiri daripada 11 lelaki tempatan serta dua wanita warga asing.

Menurutnya, mengikut pecahan tangkapan, operasi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul itu berjaya menahan lima lelaki di Kelantan dengan bantuan BSJ IPD Jeli dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Susulan itu, tiga lelaki dan dua wanita asing berjaya ditahan di Selangor dan tiga lagi lelaki di Kuala Lumpur.

"Hasil operasi ini, polis telah merampas lima buah kenderaan mewah yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur dan Johor iaitu dua buah Toyota Hilux, Toyota Alphard (1), Toyota Fortuner (1), Ford Ranger Raptor (1) yang dianggar bernilai RM1 juta," katanya pada sidang akhbar di IPD Sentul, di sini pada Isnin.

Beliau mendedahkan, modus operandi sindiket itu adalah menyasarkan kenderaan mewah dengan menggunakan 'jammer' yang menyebabkan sistem GPS (Sistem Pengesanan Global) tidak berfungsi semasa kenderaan dilarikan.

Katanya, kenderaan itu akan dilarikan ke Kelantan sebelum diseludup ke negara jiran.

"Dipercayai, nilai jualan kenderaan curi itu di negara jiran bernilai sekitar RM35,000 sebuah, bergantung pada nilai dan permintaan kenderaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan polis mendapati sindiket itu aktif sejak 2018 dengan setiap ahlinya diberi ganjaran upah RM2,500 berdasarkan peranan dan kenderaan yang berjaya dicuri," katanya.

Tambahnya, setakat ini, ada 62 kes kecurian kenderaan mewah libat kerugian RM6.2 juta di Lembah Klang berjaya diselesaikan dengan penangkapan ahli sindiket.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.