Guna air secara berhemat ketika musim panas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihat supaya menggunakan bekalan air secara berhemat ketika musim panas ini bagi memastikan sumber air bertahan lebih lama.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, cuaca panas serta hujan berkurangan menyebabkan berlaku kemerosotan paras air di sungai-sungai dan empangan yang membekalkan sumber air mentah kepada loji-loji rawatan air.

"Bagaimanapun, SPAN ingin memaklumkan sehingga kini, keadaan air di semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Labuan masih dalam keadaan terkawal," katanya.

Charles berkata, sebagai badan yang mengawal selia perkhidmatan bekalan air di Semenanjung Malaysia dan Labuan, SPAN akan sentiasa memantau rapi keadaan bekalan air kepada penguna terutama ketika musim panas ini.

"SPAN juga akan terus memantau semua sungai dan empangan dengan kerjasama semua kerajaan negeri dan akan melaporkan keadaan bekalan air kepada semua pengguna melalui media dari semasa ke semasa," katanya.

Media sebelum ini menyebut Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah akan berterusan hingga akhir Mac ini berikutan penghujung monsun timur laut. - Bernama

Artikel Berkaitan: