Mukim Bunut Susu catat tujuh kematian akibat Covid-19

Dr Zaini Hussin
Dr Zaini Hussin
A
A
A

KOTA BHARU - Tujuh kematian akibat Covid-19 dicatatkan di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas termasuklah di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, tujuh kematian tersebut melibatkan penduduk di tiga buah kampung utama iaitu Kampung Bechah Palas, Kampung Paya Ular dan Kampung Tualang, selain turut melibatkan juga penduduk di beberapa buah kampung lain.

Menurutnya, seramai 120 orang juga disahkan positif pandemik tersebut pada Ahad selepas ujian saringan dilakukan kepada hampir 1,500 penduduk di kampung berkenaan.

"Sebelum ini kita buat saringan ke atas 1,478 penduduk dan kita dapati 118 adalah positif Covid-19, namun sehingga Ahad, jumlah yang positif kini bertambah sehingga 120 orang," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, pihaknya menjangkakan proses calitan melibatkan 1,885 penduduk selesai hari ini untuk pusingan pertama dan penduduk juga masing-masing memberikan kerjasama yang baik kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penduduk di Mukim Bunut Susu dikenakan PKPD bermula Ahad sehingga 22 Mei selepas menyaksikan kenaikan kes mendadak selain kadar positif jangkitan Covid-19 juga tinggi.

Penduduk yang terlibat juga digesa supaya tampil menjalani ujian saringan Covid-19 secepat mungkin dalam usaha mencegah penularan wabak itu.

Artikel Berkaitan: