Kaji semula hasrat cairkan pegangan LTSAAS kepada pihak swasta

Zamry Abd Kadir
Zamry Abd Kadir
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memohon kerajaan mengkaji semula hasrat mencairkan pegangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang kepada pihak swasta.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zamry Abd Kadir, beliau memandang serius cadangan kerajaan tentang pengambilalihan LTSAAS Subang oleh pihak swasta.

Katanya, lapangan terbang adalah aset strategik hak milik negara, terutamanya LTSAAS merupakan lapangan terbang bersejarah negara dan dekat di hati rakyat Malaysia.

“Tentunya sebarang langkah untuk membenarkan ia dikendali oleh pihak swasta perlu difikirkan secara mendalam, baik dari aspek keselamatan dan pertahanan, mahupun hak milik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 6 Mei, Sinar Harian melaporkan tentang cadangan kerajaan mengenai pengambilalihan LTSAAS Subang oleh sebuah entiti perniagaan swasta.

Bagaimanapun, MAHB akui belum ada perbincangan dengan kerajaan mengenai butiran cadangan tersebut.

Mengulas lanjut, Zamry berkata, LTSAAS berjaya menjadi pencetus kepada pembangunan industri penerbangan yang besar buat negara, terutamanya dalam industri aeroangkasa.

“Oleh itu, MAHB telah memberi perhatian khusus dalam merancang hala tuju jangka panjang LTSAAS di bawah rangka kerja pelan induk ‘Subang Airport Regeneration Master Plan’,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, MAHB mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam mengendalikan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

“Beberapa lapangan terbang antarabangsa kendalian MAHB di Malaysia dan Turki sering mendapat pengiktirafan global dalam aspek perkhidmatan dan pertumbuhan jumlah penumpang,” katanya.

“Saya yakin setelah mendengar pandangan MAHB dan agensi lain yang berkaitan, kerajaan tidak akan mengorbankan aset strategik negara,” katanya.