X

Kindly register in order to view this article
!

Cuaca panas, kurang hujan landa Malaysia minggu depan

Monsun Barat Daya bermula pada 19 Mei ini dan akan berterusan sehingga pertengahan September.
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Monsun Barat Daya bermula pada 19 Mei ini dan akan berterusan sehingga pertengahan September.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon berkata, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak daripada bilangan hari hujan dan keadaan itu menyebabkan taburan hujan yang rendah.

“Semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.

“Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun, Jailan berkata, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fonomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.

“Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya.

Tegasnya, dalam tempoh Monsun Barat Daya, fonomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak dikawal terutamanya semasa hujung Julai sehingga September.

“Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar.

“Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini,” katanya.

Menurutnya, maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan hotline Jabatan Meteorologi Malaysia di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!