X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Covid-19: 3,807 kes dilaporkan hari ini

A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia terus merekodkan kes Covid-19 harian melebihi angka 3,000, dengan sejumlah 3,807 kes baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan kes kumulatif Covid-19 di dalam negara kini 444,484 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi hantaran di laman Twitternya berkata, dalam tempoh itu Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,149 kes diikuti Sarawak (649) dan Kelantan (329).

Kuala Lumpur pula mencatat 320 kes; Johor (257); Pulau Pinang (245); Kedah (224); Negeri Sembilan (144); Perak (119); Sabah (96); Terengganu (93); Melaka (88); Pahang (77); Putrajaya (11); Labuan dan Perlis masing-masing tiga kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan media berkata, dalam tempoh 24 jam lepas juga, sebanyak 3,454 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatifnya 405,388 kes manakala kes aktif kini 37,396.

Beliau berkata, sejumlah 434 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 224 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan manakala jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 1,700 kes, susulan 17 kematian baharu dilaporkan pada Isnin.

"Terdapat 19 kluster baharu dikenal pasti hari ini (Isnin) melibatkan tujuh kluster tempat kerja, masing-masing lima kluster komuniti dan keagamaan serta dua kluster pendidikan lain.

"Kluster tempat kerja berkenaan ialah Kluster Balakong Jaya Tiga dan Kluster Jalan Raja Musa di Selangor; Kluster Jalan Maharani, Johor; Kluster Bukit Minyak Lapan, Pulau Pinang; Kluster Dah Empat Kota, Kedah; Kluster Kompleks Empat, Sabah dan Kluster Gudang Genting, Pahang," katanya.

Kluster keagamaan pula ialah Kluster Desa Kemuning dan Kluster Jalan Haji Alias di Selangor; Kluster Pekan Pasir Mas, Kelantan; Kluster Jalan Kesyukuran, Johor dan Kluster Dah Lalang, Kedah.

Selain itu, kluster komuniti melibatkan Kluster Ulu Anap dan Kluster Emperan di Sarawak; Kluster Kampung Sawah, Johor; Kluster Pelagat Tiga, Terengganu dan Kluster Parit Lima, Perak manakala kluster pendidikan lain pula membabitkan Kluster Jalan Jurutera, Selangor dan Kluster Jalan Baling, Perak.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah keseluruhan kluster yang ditamatkan ialah 1,359 kluster manakala jumlah kluster aktif ialah 448. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!