Salah faham operasi bazar Aidilfitri Lorong TAR selesai

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suasana tegang yang dicetuskan oleh beberapa peniaga bazar Aidilfitri Tuanku Abdul Rahman (TAR) susulan penutupan bazar itu pada Ahad seperti tular di media sosial telah diselesaikan pada hari sama.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerusi kenyataan di Facebooknya berkata, kejadian dilaporkan berlaku jam 11 pagi dan selesai tiga jam kemudian apabila pintu masuk bazar itu dibuka semula kepada pengunjung sekitar jam 2.15 petang dan peniaga dibenarkan meneruskan perniagaan sehingga jam 10 malam.

Menurutnya, masalah itu timbul disebabkan kekeliruan selepas polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mengarahkan operasi bazar itu ditutup kerana tersenarai sebagai Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE).

"Pada masa sama, bazar itu juga terlibat dengan peraturan umum di mana semua bazar diarah tutup mulai Isnin.

"Kekeliruan telah diselesaikan dengan pantas setelah kes dirujuk pada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan peniaga dibenarkan meneruskan jualan untuk hari itu (Ahad)," menurut perkongsian di Facebooknya pada Isnin.

Suasana bazar Aidilfitri Lorong TAR yang dibuka sejak 17 April lalu dan ditamatkan Ahad lalu susulan peningkatan kes Covid-19.
Suasana bazar Aidilfitri Lorong TAR yang dibuka sejak 17 April lalu dan ditamatkan Ahad lalu susulan peningkatan kes Covid-19.

Tambahnya, bazar itu mula ditutup pada Isnin mengikut arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negera (MKN) seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan video tular melibatkan seorang peniaga wanita yang memarahi anggota polis yg mengarahkan bazar Aidilfitri Lorong TAR ditutup pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kepada semua kerana menunjukkan kesepakatan menangani setiap isu dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan," katanya.

Pada Sabtu, Ismail Sabri dalam satu kenyataan memaklumkan semua bazar Ramadan dan Aidilfitri dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditutup mulai Isnin susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Sementara bazar dan premis yang tersenarai dalam sistem HIDE akan ditutup selama tiga hari, berkuat kuasa serta-merta.