Najis babi cemari sungai, laut

Sisa najis babi yang terdapat di dalam Sungai Sembilang, Pantai Achech di Balik Pulau.
Sisa najis babi yang terdapat di dalam Sungai Sembilang, Pantai Achech di Balik Pulau.
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa menyiasat tindakan pengusaha ternakan babi di Pantai Acheh di sini yang dipercayai membuang najis ternakan ke sungai dan laut berhampiran.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihak berkuasa perlu bertindak segera kerana tindakan pengusaha tersebut mungkin menjadi salah satu penyumbang kepada pencemaran sungai dan laut yang berlaku di kawasan tersebut pada waktu ini.

Beliau berkata, tinjauan di Kuala Sungai Pinang mendapati selain pencemaran najis babi, nelayan di kawasan tersebut turut berdepan dengan masalah pembuangan sisa kolam ternakan udang.

"Kedua-dua kejadian ini mungkin menyebabkan air sungai dan laut tercemar sehingga menjejaskan pembiakan hidupan laut. Ia juga menjejaskan sumber pendapatan kira-kira 300 nelayan pantai di kawasan berkenaan.

"Hasil laut seperti ikan, udang, ketam dan siput yang menjadi sumber tangkapan utama mereka sejak turun-temurun telah berkurangan. Hasil pendapatan nelayan juga merosot sehingga 50 peratus setiap kali turun ke laut sejak beberapa tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, beratus hektar kawasan hutan paya bakau dari Kuala Jalan Baru sehingga Pantai Acheh telah musnah kerana dijadikan kolam untuk ternakan udang yang mana ia mengancam tempat pembiakan hidupan laut.

"Sebelum ini CAP telah beberapa kali mengemukakan masalah tersebut kepada pihak berwajib kerana bimbang kesan buruk yang berlaku, namun hingga sekarang tiada tindakan berkesan diambil. Di Pantai Acheh, sisa najis babi mengalir dari Sungai Sembilang terus ke laut.

"Keadaan ini menyebabkan bau busuk yang sangat kuat terutamanya pada waktu malam sehingga mengganggu aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan di perairan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohideen berkata, pihaknya percaya jika masalah itu dibiarkan ia boleh menjejaskan alam sekitar, hidupan laut dan sumber pendapatan nelayan dengan lebih serius pada masa akan datang.

"CAP berharap pihak berkaitan memberi perhatian serius terhadap perkara ini kerana kesannya lama kelamaan boleh menggugat sektor perikanan dan ekonomi negara.

"Kita meminta hasil siasatan dan kajian mengenai masalah ini didedahkan kepada umum terutama kalangan nelayan tempatan yang sekian lama dibelenggu perasaan bimbang mengenai nasib masa depan mereka," katanya.