X

Kindly register in order to view this article
!

Isu balak perlu siasatan menyeluruh: Exco Negeri Sembilan

Kelihatan pegawai SPRM keluar dari pejabat Perbadanan Negeri Sembilan sambil diperhatikan Mohamad Rafie.
A
A

SEREMBAN - Exco Pelaburan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek mahu siasatan secara menyeluruh dilakukan berkenaan dakwaan wujud salah guna kuasa serta penyelewengan konsesi balak melibatkan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dan individu penting dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (​SPRM).

Beliau yang merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah YNS turut bersedia memberi kerjasama sepenuhnya sekaligus memastikan kerajaan negeri serta SPRM bersih.

"Hari ini (Isnin) SPRM telah ambil keterangan saya selama dua jam berkaitan isu balak di Negeri Sembilan.

"Ia susulan laporan kepada SPRM pada 18 September 2020 dan pada 15 April lalu yang mana turut mendakwa individu penting dalam SPRM telah menyejuk beku siasatan balak di Negeri Sembilan kerana hubungannya dengan Pengarah YSN," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Perbadanan Negeri Sembilan selepas memberi keterangan selama dua jam kepada SPRM pada Isnin.

Menurutnya, dakwaan itu amat serius kerana ia bukan sahaja boleh mengakibatkan institusi SPRM tercalar, tetapi turut memberi kesan negatif kepada kerajaan negeri.

Selain itu katanya, beliau difahamkan lapan Ahli Lembaga Pengarah telahpun diambil keterangan melainkan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Mohamad Rafie
Mohamad Rafie

"Isunya berkaitan pemberian konsesi balak sebanyak 2,000 hektar kepada YNS.

"Kalau ikutkan, ia diberi kelulusan oleh kerajaan sebelum ini lagi sekitar tahun 2017 sebelum diteruskan kerajaan sekarang," katanya.

Ditanya sama ada memang wujud perkara tidak betul dalam isu balak terbabit, beliau berkata, tidak wajar untuknya memberi sebarang komen kerana ia masih dalam siasatan.

Namun beliau sekali lagi menegaskan, yang siasatan menyeluruh perlu bagi memastikan kerajaan negeri bersih kerana jika tidak sudah pastinya ia akan kekal tercalar pada pandangan rakyat.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menafikan dakwaan pihaknya tidak meneruskan siasatan atau 'menyejuk beku' isu salah guna kuasa dan penyelewengan konsesi balak melibatkan YNS.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Mohamad Zakkuan Talib berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan konsesi balak melibatkan YNS.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan artikel seorang penulis blog bertajuk 'Pencegah Rasuah Pun Bapak Rasuah' yang disiarkan hari ini dan menyenaraikan 20 perkara utama antaranya membabitkan unsur rasuah serta salah guna kuasa individu tertentu termasuk dakwaan siasatan kes balak YNS telah 'disejukbekukan' oleh SPRM.

Pada 16 April lalu, kerajaan Negeri Sembilan menyerahkan kepada pihak SPRM bagi menyiasat isu pengeluaran kayu balak di kawasan Lenggeng.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam hal tersebut dan akan sentiasa memberi bekerjasama kepada pihak SPRM.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!