Tak serik mencuri, ibu tunggal direman

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tidak serik! Seorang ibu tunggal yang sering ditangkap atas kesalahan mencuri di sebuah pasaraya, sekali lagi diberkas di pasaraya sama di Bukit Kecil, di sini, semalam.

Wanita berusia 47 tahun itu ditahan setelah membawa keluar 15 biji telur gred B, tiga paket burger lembu jenama Ramly, tiga paket burger ayam jenama Ramly, ikan selar dan ikan selayang gred A yang disorokkan di dalam tudung dipakainya dari pasaraya tersebut.

Menurut sumber, kegiatan ibu kepada lima anak itu berjaya dikesan salah seorang pengawal keselamatan di pasaraya berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.

"Ketika sedang membuat rondaan, pengawal keselamatan terbabit ternampak seorang perempuan berpurdah (suspek) dalam keadaan mencurigakan di bahagian sejuk beku.

"Tindak-tanduk suspek diperhatikan sebelum ternampak dia memasukkan sesuatu barang ke dalam beg galas yang disorokkan di dalam tudungnya.

"Selepas itu, suspek didapati terus menghala keluar mengikuti pintu hadapan sebelum meminta dia memberi kerjasama untuk diperiksa beg dibawanya," katanya.

Sumber berkata, suspek di bawa ke bilik siasatan di pasaraya berkenaan untuk pemeriksaan sebelum menemui barang-barang yang bernilai keseluruhan RM85.32 di dalam beg galasnya tanpa memiliki sebarang bukti pembayaran.

"Difahamkan suspek yang bekerja sebagai tukang cuci itu sering ditangkap atas kesalahan mencuri di pasaraya berkenaan tetapi disebabkan belas ihsan pihak pengurusan pasaraya, dia dilepaskan tanpa diambil sebarang tindakan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek juga pernah diberi amaran beberapa kali oleh pihak pengurusan pasaraya yang mereka akan melaporkan kepada pihak polis sekiranya ditangkap sekali lagi.

"Bagaimanapun, apabila dibebaskan, suspek yang menggunakan taktik sama iaitu memakai purdah semasa menjalankan kegiatan itu tetap melakukan perkara sama," katanya.

Sementara itu, suspek yang beralamat dari Kampung Jeram Hilir Tepoh, di sini, dibenarkan ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latif di sini hari ini.