Tular audio pilu suami kehilangan isteri akibat Covid-19

Menerusi audio berdurasi dua minit 20 saat itu, Shahrizal dimaklumkan bahawa isterinya, Airda Muslimah Mahmood disahkan meninggal pada jam 12.29 tengah hari yang dipercayai akibat Covid-19. (Tangkap layar daripada Facebook)
Menerusi audio berdurasi dua minit 20 saat itu, Shahrizal dimaklumkan bahawa isterinya, Airda Muslimah Mahmood disahkan meninggal pada jam 12.29 tengah hari yang dipercayai akibat Covid-19. (Tangkap layar daripada Facebook)
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah rakaman audio sedih tular di media sosial melibatkan perbualan seorang wanita dipercayai doktor di sebuah hospital dengan seorang lelaki bernama Shahrizal yang diberitahu berita kematian isterinya pada Ahad.

Menerusi audio berdurasi dua minit 20 saat itu, Shahrizal dimaklumkan bahawa isterinya, Airda Muslimah Mahmood disahkan meninggal pada jam 12.29 tengah hari yang dipercayai akibat penyakit Covid-19.

Melalui rakaman berkenaan, doktor memberitahu bahawa Shahrizal boleh datang untuk kali terakhir bagi proses pengecaman mayat, manakala proses pengendalian mayat itu akan diselesaikan oleh orang hospital.

Katanya, bantuan tekanan dada yang dilakukan oleh pihak hospital berjaya mengembalikan isterinya untuk beberapa minit, sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

“Kami (pihak hospital) telah membuat tekanan dada, dia (Aida) kembali (bernyawa) sekejap tetapi dia berhenti lagi sekali,” ujar doktor itu.

Latar belakang audio yang menyayat hati itu turut memperdengar suara tangisan anak-anaknya yang dipercayai berumur enam tahun, sembilan tahun dan 12 tahun.

Difahamkan Shahrizal memberitahu bahawa dia pernah meminta kebenaran untuk melihat isterinya sebelum ini namun tidak dibenarkan oleh pihak hospital.

Perkara itu disahkan oleh seorang ahli keluarga yang enggan dikenali.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suami arwah, Shahrizal dan tiga anaknya tidak dapat hadir ke hospital bagi melihat jenazah arwah buat kali terakhir kerana masih dalam perintah kuarantin.

“Memang (suami arwah dan anak-anaknya) tidak dapat hadir sebab mereka pun positif Covid-19 dan menjalani perintah kuarantin di rumah mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.