Polis Sabah cadang individu kembali dari Semenanjung dikuarantin

Hazani ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Hazani ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Individu dari Semenanjung yang kembali ke Sabah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dicadangkan untuk dikenakan kuarantin bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19 di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, cadangan itu akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah untuk dipertimbangkan.

Menurutnya, selain ujian calitan, mereka yang datang dari Semenanjung tidak kira penjawat awam atau pasangan jarak jauh dicadangkan dikenakan kuarantin.

"Saya tahu sekarang ini sudah mulai cuti sekolah dan ramai guru-guru Semenanjung sudah balik. Jadi saya cadangkan yang balik dari Semenanjung selepas hari raya ini dikuarantin termasuk jugalah polis dan pasangan jarak jauh.

"Sebab kita takut mereka ini akan membawa sesuatu virus yang baharu dari Semenanjung dan cadangan ini akan dibawa ke mesyuarat hari ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Isnin.

Mengulas berhubung pemantauan sepanjang perayaan Aidilfitri, Hazani berkata, pasukan pematuhan di setiap daerah mungkin akan ditambah untuk memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Saya telah arahkan team pematuhan untuk buat pemantauan di taman perumahan, kampung dan tempat yang menjadi tumpuan termasuk pusat beli belah.

"Jangan terkejut jika team pematuhan bergerak masuk ke kawasan tanah perkuburan kerana sudah menjadi amalan setiap kali hari raya ada yang datang ke kawasan perkuburan untuk buat majlis tahlil dan ini adalah bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

"Kita takut nanti wujud kluster baharu selepas raya nanti iaitu kluster Aidilfitri," katanya.

Sebelum itu, beliau berkata, sempena kawalan pergerakan rentas daerah bagi tempoh 10 hingga 16 Mei ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendirikan pos sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri ini.

"Kita dapati sepanjang dua hari ini memang banyak pergerakan kenderaan keluar dari Pantai Barat ke Pantai Timur dan sebagainya. Apabila mereka balik selepas hari raya nanti perlu tunjukkan permit kebenaran rentas sempadan.

"Jika sekadar balik untuk menyambut hari raya, saya akan arahkan SJR halau balik. Jadi tiada alasan untuk pulang berhari raya, tiada alasan untuk hantar baju atau kuih raya kecuali urusan kecemasan dan perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan," katanya.