MCA kesal kerajaan membelakangkan penduduk

Tuan Peng (kanan) menyampaikan sumbangan berupaya barangan keperluan harian kepada salah seorang penduduk Kampung Melayu Pandan yang terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini.
Tuan Peng (kanan) menyampaikan sumbangan berupaya barangan keperluan harian kepada salah seorang penduduk Kampung Melayu Pandan yang terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - MCA Bahagian Pasir Gudang kesal cadangan pembangunan beberapa penempatan lama di DUN Johor Jaya tidak diteruskan.

Ketuanya, Tan Tuan Peng berkata, selain memberikan kemudahan lebih baik, cadangan pembangunan itu juga mampu mengatasi beberapa masalah bencana alam terutamanya banjir.

Menurutnya, penempatan sedia ada di Kampung Melayu Pandan, Kampung Saujana dan Kampung Rumah Sepuluh tidak mempunyai infrastruktur baik serta kedudukan kurang berstruktur.

“Semasa pemerintahan kerajaan sebelum ini di bawah pentadbiran Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Besar, beliau ada cadangan untuk menaik taraf kawasan ini.

“Kami faham keadaan di kampung ini tak selesa dan kurang berstruktur. Kelemahan daripada segi infrastruktur termasuk kemudahan saliran juga menjadi faktor utama sering berlakunya banjir kilat dan ribut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan sumbangan MCA Pasir Gudang kepada beberapa penduduk Kampung Melayu Pandan yang terjejas akibat banjir kilat, di sini, hari ini.

Tuan Peng mempersoalkan pentadbiran sekarang yang tidak meneruskan cadangan itu di mana ia adalah untuk kepentingan rakyat yang menetap di kampung berkenaan.

"Pelaksanaan cadangan itu tidak dilakukan lebih awal adalah kerana kerajaan negeri ketika itu mahu penduduk kawasan ini menerima pemilikan tanah terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Kita mahu lakukan perkara ini secara berperingkat dan strategik, jadi Mohamed Khaled ketika itu mengusulkan terlebih dahulu untuk penduduk di sini menerima pemilikan tanah, dan hasilnya pada 2017, seramai 65 pendudukan Kampung Melayu Pandan terima notis 5A," katanya.

Tambahnya, akan ada 131 lagi penerima yang akan datang tetapi tidak sempat diberikan selepas peralihan kerajaan.

"Kesan daripada itu, cadangan pembinaan dan menaiktaraf kawasan berkenaan tidak dapat diteruskan.

“Cadangannya begini, bila semua ada tanah baru kita boleh jalankan pelan seterusnya iaitu wujudkan kemudahan baharu, jalan, saliran malah membina rumah kepada penduduk," katanya.

Tuan Peng berkata, rasionalnya, siapa yang mahu pindah, jika mereka tidak ada tanah dan hanya menerima pampasan, kerajaan faham mengenai perkara itu.

"Jadi mereka mahu pastikan penduduk ada tanah dahulu,” katanya.