Kerajaan perlu tingkatkan penggunaan teknologi bendung Covid-19

Kerajaan digesa tingkatkan penggunaan teknologi dalam strategi membendung penularan pandemik Covid-19 dalam negara. - Foto 123RF
Kerajaan digesa tingkatkan penggunaan teknologi dalam strategi membendung penularan pandemik Covid-19 dalam negara. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya meningkatkan lagi penggunaan teknologi dalam strateginya membendung penularan pandemik Covid-19 dalam negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain daripada penggunaan teknologi perubatan sedia ada, terdapat juga teknologi lain yang secara tidak langsung diperlukan dalam mengawal penyebaran Covid-19.

Menurutnya, teknologi sedemikian seperti antaranya yang digunakan untuk mengesan kumpulan yang berisiko atau dijangkiti virus tersebut amat penting dalam mengawal tingkah laku masyarakat.

“Setakat ini, MySejahtera adalah satu-satunya teknologi pengumpulan rekod, pemakluman dan pengesanan individu yang kita gunakan. Ia baik dan mudah. Namun tetapi tidak cukup berkesan dan jauh dari memadai.

“Pada Jun 2020, Apple dan Google telah bekerjasama membangunkan satu ‘Exposure Notification’ menggunakan kaedah ‘bluetooth’ yang membolehkan orang awam diberikan amaran tentang tahap risiko di sesuatu kawasan berdekatan mereka.

“Di Singapura, kerajaan republik tersebut membangunkan aplikasi TraceTogether yang turut menggunakan teknologi 'bluetooth' untuk meningkat kecekapan pengesanan. Mereka yang tidak mempunyai telefon pintar pula akan dibekalkan satu peranti poket kecil untuk digunakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamed Khaled yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Gudang itu menambah, kesemua teknologi tersebut bukanlah terlalu asing ataupun canggih untuk digunakan tetapi sebaliknya ia hanya memerlukan keseriusan dan kesedaran pihak kerajaan untuk memanfaatkannya.

“Baru-baru ini misalnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) yang membantu mengenal pasti kawasan-kawasan panas Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Namun, ia tidak pula dimasukkan ke dalam MySejahtera yang telah digunakan secara meluas. Jadi, isunya bukan sahaja teknologi, isunya adalah strategi,” ujarnya.

Jelas beliau, kerajaan tidak seharusnya berterusan menggunakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilihat bukan sahaja gagal untuk memulihkan keadaan tetapi pada masa turut memberi kesan yang teruk kepada ekonomi dan mental orang ramai.

Katanya, negara perlu bertindak dengan lebih pantas dan radikal dalam penggunaan teknologi untuk memastikan keadaan penularan Covid-19 tidak menjadi lebih teruk dan melarat.