'Hati-hati keluar kenyataan'

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed. - Foto SHARIFUDIN ABDULRAHIM
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed. - Foto SHARIFUDIN ABDULRAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Semua pihak digesa tidak mengeluarkan kenyataan provokatif yang boleh menimbulkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak dalam isu kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebaliknya perkara ini perlu diserahkan kepada pihak berkuasa.

"Saya minta semua pihak, sama ada di dalam dewan ini mahupun orang ramai supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan ataupun berkongsi apa-apa berita mengenai peristiwa itu kerana sekarang ini pun sudah banyak berita palsu dan salah diedarkan.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan kuil: Tun M beri kenyataan di Dewan Rakyat ]

"Kepada ahli politik serta pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan dan yang berkepentingan janganlah ada pula yang cuba menangguk di air keroh," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mahathir membuat kenyataan itu susulan insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman, Isnin lalu.

Menurut beliau, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan maklumat tidak benar dan mengancam ketenteraman awam.

"Saya ingin tegaskan, bukan niat kerajaan untuk menghukum sesiapa secara buta-tuli, tetapi demokrasi mempunyai batasnya dan kita semua harus faham batas-batas demokrasi ini.

Artikel Berkaitan:

"Tidak ada sesiapa boleh bertindak sesuka hati melanggar undang-undang dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat dan kekecohan dalam negara.

"Hak dan kebebasan bersuara bukan bermakna seseorang boleh mengatakan apa sahaja yang bersifat provokatif terhadap sensitiviti pihak lain. Jika ada pihak yang melanggar undang-undang untuk kepentingan diri mereka sahaja, maka kerajaan yang mendokong prinsip, dengan izin 'rule of law', juga akan bertindak berdasarkan undang-undang," katanya.

Beliau juga sekali lagi menekankan insiden itu bukan isu perkauman atau berkaitan agama tetapi satu tindakan jenayah.

"Saya juga dimaklumkan pihak polis sedang giat memburu mereka yang terbabit di dalam merusuh dan mencederakan anggota bomba serta anggota keselamatan dalam kejadian tempoh hari. Mereka ini akan berdepan dengan tindakan tegas undang-undang," katanya.

Perdana Menteri turut meminta semua rakyat bertenang dan mengelakkan daripada terbabit dalam aktiviti yang boleh menjadi landasan untuk melakukan 'instigation' dan hasutan.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Semua MP bersatu hati bahas usul tergempar kuil Seafield ]