Jangan berkunjung hari raya ini, pesan Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Arahan kerajaan agar orang ramai tidak berkumpul pada Hari Raya Aidilfitri perlu dipatuhi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang ramai tidak perlu mengunjungi ke rumah rakan dan saudara mara mereka.

“Itu bukanlah satu lawatan yang baik kerana mungkin kita akan dijangkiti ataupun mereka akan dijangkiti kerana kita membuat lawatan.

“Kita perlu sabar hari raya tahun ini kerana kita ingin melihat penyakit ini dikurangkan dengan tindakan kita,” katanya menerusi kenyataan khas di laman sosial YouTube miliknya pada Isnin.

Menerusi kenyataan itu juga, Ahli Parlimen Langkawi itu mengambil contoh satu kes Covid-19 yang berlaku telah menjangkiti lebih 2,000 orang.

“Hanya seorang dan kematian juga meningkat kepada lebih 20 orang. Itu cara wabak ini berkembang dalam kalangan kita,” tegasnya.

Menurut Dr Mahathir, sekiranya rakyat tidak berjaga-jaga, negara ini akan menjadi seperti India dan Brazil.

“Di mana ratusan ribu orang mendapat jangkitan setiap hari dan mereka tidak mampu untuk menjaga dan merawat yang jatuh sakit.

Artikel Berkaitan:

“Dan ramai daripada mereka dibiarkan begitu sahaja dan kebanyakannya sudah meninggal. Ini boleh berlaku di Malaysia kalau kita tidak berjaga-jaga,” katanya.

Beliau turut merayu kepada rakyat negara ini tidak kira kaum atau parti untuk mengurangkan kemungkinan daripada dijangkiti Covid-19.

“Kita patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan kalau boleh kita tinggal di rumah sahaja.

“Mungkin ini menimbulkan masalah kerana kita perlu beli makanan dan sebagainya tapi sekarang ini makanan boleh dibeli dalam talian, jadi kita tak payahlah pergi ke pasar untuk membeli belah,” katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan khas itu juga, Dr Mahathir turut meminta maaf kerana beliau tidak melaksanakan solat Jumaat di masjid.

“Saya minta maaf saya tidak pergi sembahyang kerana saya dapati ramai yang mendekatkan diri mereka dengan saya untuk tanya khabar dan juga tanya kesihatan diri saya.

“Terima kasih kerana mengambil berat terhadap kesihatan saya, tetapi hakikatnya ialah mereka berdekatan dengan saya,” katanya.

Menurutnya, ia juga berlaku semasa beliau pergi ke bazar Ramadan, akan ada orang yang mendekatinya seperti ingin mengambil gambar.

Dr Mahathir berkata, walaupun seseorang itu solat Jumaat di masjid dan mengelak daripada berdekatan dengan orang lain yang sedang bersembahyang, tetapi sebelum dan selepas itu berlaku sebaliknya.

“Sepatutnya jarak satu meter itu perlu dikekalkan semasa kita berjalan pun. Bukan sahaja kita sembahyang tetapi semasa kita berjalan jauhkan diri daripada orang lain. Mungkin setakat satu meter. Bagi saya lebih daripada satu meter lebih baik,” katanya.