Ayam hutan hibrid naik harga penangan Sinar Harian

Ayam hutan kegilaan baharu masyarakat Kelantan.
A
A

RANTAU PANJANG - Tidak sampai 24 jam pemilik dan peminat seni suara kokokan ayam hutan hibrid kini 'bingung' apabila harga unggas itu naik secara tiba-tiba.

Peningkatan harga ayam itu disebabkan laporan Sinar Harian menerusi laman webnya manakala Sinar TV melalui platform Facebook Sinar Harian Edisi Kelantan berhubung pertandingan yang berlangsung di Rantau Panjang.

Pemilik dan peminat ayam hutan hibrid, Mahadi Ismail, 43, berkata, sejurus laporan itu, harga unggas berkenaan naik dua kali ganda.

"Untuk induk biasa harganya sekitar RM30 hingga RM50 seekor, namun ia naik mencecah sehingga RM150 dan ke atas.

"Ini sesuatu yang amat mengejutkan saya dan peminat ayam hutan hibrid ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ayam hutan kegilaan baharu masyarakat Kelantan

Menurutnya, laporan itu memberi impak yang cukup besar apabila telefon bimbit miliknya dan rakan-rakan tidak henti-henti berdering bertanyakan perihal ayam tersebut.

Katanya, lebih 'membingungkan' induk ayam hutan hibrid ayam kacukan di pasaran turut berkurangan dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

"Kami peminat-peminat ayam kini buntu dengan kenaikan mendadak harga, selain ia berkurangan di pasaran," katanya.

Mahadi berkata, kebanyakan ayam hutan hibrid yang dimiliki oleh peminat unggas itu bukan induk asal.

Katanya, unggas itu sudah mengalami proses kacukan sebanyak tiga kali dengan jenis ayam kampung.