X

Kindly register in order to view this article
!

Empat kru Myanmar ditahan langgar syarat sah lesen

Tekong dan kru serta bot ditahan dalam satu operasi di Pulau Batu Putih di sini pada Ahad.
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan empat kru warga Myanmar dan merampas lebih 30 kilogram hasil tangkapan dalam satu operasi di Pulau Batu Putih di sini pada Ahad.

Dalam operasi sekitar jam 3.15 petang itu, bot nelayan dinaiki mereka dikesan melakukan aktiviti perikanan dalam kawasan yang dilarang oleh syarat sah lesen iaitu kurang daripada 3.0 batu nautika.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pemeriksaan dijalankan mendapati, bot nelayan tempatan kelas B1 itu melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti perikanan di posisi 1.9 batu nautika barat daya Pulau Batu Putih.

"Bot peronda yang sedang melaksanakan Ops Benteng Laut dan Ops Pintas di sekitar perairan Pulau Sembilan telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan sedang melakukan aktiviti perikanan dalam kawasan yang dilarang.

"Bot tersebut berjaya dipintas dan diberhentikan oleh bot peronda ketika aktiviti perikananan sedang dilakukan," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati bot tersebut menggunakan pukat tunda dengan dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong yang kesemuanya warga Myanmar.

"Kesemua mereka berusia lingkungan 34 hingga 39 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Beliau berkata, bot tersebut dipercayai berpengkalan di Hutan Melintang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 menangkap ikan di zon yang dilarang serta Akta Imigresen 1959/63 menggajikan kru warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"Tekong dan kru serta bot ditahan dengan hasil tangkapan dianggarkan 30 kilogram itu diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Sitiawan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!